Ismail Sabri calon PM kembalikan keyakinan rakyat

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Keputusan Majlis KerjaTertinggi (MKT) UMNO yang menamakan Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membolehkan beliau memulihkan keyakinan rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa juga berpandangan, sudah tiba masanya Ismail Sabri turut diberi amanah sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Pengarah Utama Jentera Pilihan Raya BN.

Sebagai calon Perdana Menteri juga, beliau berkata, Ismail Sabri perlu diberi seluas-luas ruang untuk mencorakkan pentadbiran yang mampu membawa orde baru politik negara yang lebih segar, bersih, berintegriti serta mampu memulihkan negara.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata keputusan itu juga membolehkan Ismail Sabri menumpukan perhatian dan mengerahkan seluruh kekuatan bagi mengembalikan semula kekuatan UMNO.

"Tahniah kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan saf kepimpinan MKT UMNO yang telah membuat keputusan tuntas menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri mewakili UMNO bagi PRU15 yang akan datang.

"Jelas sekali lagi syura dan muafakat MKT UMNO menampilkan kematangan dan kebijaksanaannya, terutama dalam membuat keputusan kritikal dan strategik bagi memastikan kelangsungan perjuangan UMNO,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Annuar menzahirkan kepercayaan bahawa keputusan itu disambut dengan penuh kesyukuran oleh seluruh ahli dan penyokong perjuangan UMNO, parti-parti komponen BN serta rakan sekutu BN.

MKT UMNO pada Khamis sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri pada PRU15, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan berkata perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat MT UMNO yang dipengerusikan Ahmad Zahid. - Bernama

Artikel Berkaitan: