PRU15: Norhizam sedia tanding tapi bukan tiket DAP

Norhizam
Norhizam
A
A
A

MELAKA - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee sedia bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya menerima tawaran daripada parti yang benar-benar mahu membela nasib rakyat.

Norhizam yang dikenali sebagai 'YB Viral' berkata, sehingga kini beliau tidak berhasrat untuk kembali kepada parti DAP dan menyelar kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bahawa parti itu tidak menerima individu yang melompat parti.

Menurutnya, selepas keluar dari DAP beliau tidak pernah melompat ke mana-mana parti namun kenyataan individu itu tidak selari dengan keputusan yang mereka buat selama ini iaitu menerima Parti Amanah Negara (Amanah) yang ahlinya adalah daripada parti Pas.

"Saya bukanlah individu lompat parti, sedangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka saya bertanding atas tiket bebas dan tidak mewakli mana-mana parti.

"Sebab jiwa saya nak bekerja untuk rakyat, dan jika itu prinsip DAP tak mahu terima mereka lompat parti tapi kenapa boleh 'bersekedudukan' dengan Amanah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Jumaat.

Tambah beliau, prinsip itu seolah-olah mengambarkan Ahli Parlimen Seremban itu 'takut dengan bayangan Norhizam'.

Beliau mendakwa tidak mustahil prinsip itu akan menjadikan DAP parti hanya tinggal logo dan menjadi kenangan di muzium sahaja.

"Saya lihat dia (Anthony) tak ambil iktibar kekalahan besar DAP pada PRN di beberapa negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga bekas Timbalan DAP Melaka turut menasihatkan pengundi Melayu tidak tersilap membuat pilihan dengan tidak memilih parti itu yang didakwa tidak memperjuangkan nasib rakyat.

Ujar beliau, pada masa sama tiada siapa yang boleh menghalangnya terus terlibat dalam dunia politik dan jika ditakdirkan bertanding akan menerima parti yang benar-benar bersama rakyat.

"Saya bukan kluster mahkamah, saya buat kerja di kawasan saya dan saya kalah kerana saya tak ada parti malah saya terima keputusan itu secara terbuka," katanya.

Pada Khamis, media melaporkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan Norhizam boleh melupakan hasrat bersama DAP kerana parti itu tidak akan menerima individu yang pernah keluar meninggalkan perjuangan.

Pada PRN Melaka November lalu, Norhizam bertanding sebagai calon Bebas dan tewas apabila hanya meraih 1,218 undi sekali gus gagal mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Batu.