MBSA sedia pelan tangani banjir untuk tempoh tiga tahun

Zamani Ahmad (tiga dari kanan) ketika perasmian Sesi Townhall Bagi Penyediaan SASuD di Shah Alam pada Khamis. - Foto MBSA
Zamani Ahmad (tiga dari kanan) ketika perasmian Sesi Townhall Bagi Penyediaan SASuD di Shah Alam pada Khamis. - Foto MBSA
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASuD) untuk tempoh tiga tahun akan datang hingga tahun 2024 menerusi penganjuran sesi Townhall di sini pada Khamis.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pelan tersebut meliputi langkah mitigasi struktur dan bukan struktur dengan melibatkan perancangan daripada pihak Jabatan Kejuruteraan MBSA bersama beberapa kumpulan sasaran untuk mendapat pandangan dan cadangan penambahbaikan yang dikenal pasti.

Menurutnya, seramai 200 peserta terlibat dalam sesi tersebut merangkumi pelbagai kumpulan sasaran termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, ahli Parlimen di kawasan pentadbiran MBSA, wakil dari agensi kerajaan dan swasta, ahli Majlis MBSA, jabatan-jabatan dalaman MBSA serta wakil dari komuniti Shah Alam.

Sesi 'townhall' dianjurkan bagi menyediakan pelan SASuD yang meliputi langkah mitigasi struktur dan bukan struktur dengan melibatkan perancangan dari pihak Jabatan Kejuruteraan MBSA bersama beberapa kumpulan sasaran. - Foto MBSA.
Sesi 'townhall' dianjurkan bagi menyediakan pelan SASuD yang meliputi langkah mitigasi struktur dan bukan struktur dengan melibatkan perancangan dari pihak Jabatan Kejuruteraan MBSA bersama beberapa kumpulan sasaran. - Foto MBSA.

"Pelan ini adalah berdasarkan hala tuju dalam menaik taraf sistem perparitan utama perbandaran ke arah reka bentuk minimum 50 tahun Average Recurrence Interval (ARI), menaik taraf kolam takungan berkaitan dengan semua lembangan bagi menakung air apabila berlaku banjir luar biasa dan menambah struktur penyokong air larian permukaan seperti parit erong bagi kawasan banjir kilat.

"Selain itu, ia melibatkan penyediaan struktur tebatan banjir yang mampu mengawal situasi banjir luar biasa dan menyokong sistem tebatan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, membina sistem ramalan dan pemantauan banjir perbandaran secara bersepadu.

"Tambahan lagi, pelan ini menerapkan konsep hijau dalam penyediaan infrastruktur bagi meningkatkan resapan kuantiti air larian permukaan ke dalam tanah sebagai air larian bawah tanah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Majlis Perasmian Sesi Townhall Bagi Penyediaan SASuD itu disempurnakan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan.

Dalam pada itu, Shahrin berkata, penyediaan SASuD melibatkan kawasan sekitar lembangan Sungai Rasau/Sungai Nibong, Sungai Air Kuning/Sungai Damansara, Sungai Buloh, Sungai Binjai/Sungai Puloh, Sungai Renggam, Sungai Rasah dan Sungai Kandis.

"Pihak MBSA juga akan memberikan fokus kepada tiga kawasan untuk projek Tebatan Banjir, iaitu Taman Seri Muda, Seksyen 25, Seksyen 13 dan Taman Mesra Shah Alam serta Bandar Baru Sungai Buloh Seksyen U20, di sini," katanya.