Program ePemula pastikan perniagaan mikro tidak ketinggalan

No Image Caption
A
A
A

PELAKSANAAN program ePemula yang menetapkan penggunaan e-kredit secara di luar talian dapat memastikan kedai dan perniagaan berbentuk mikro tidak ketinggalan dalam fasa transformasi ekonomi digital.

Ketua ShopeePay Malaysia, Alain Yee berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 1.1 juta premis perniagaan termasuk perniagaan mikro dan kecil yang telah berdaftar dengan DuitNow QR dan membolehkan mereka menerima pakai transaksi tanpa tunai.

"Melalui inisiatif ePemula, hasrat kerajaan untuk mengalakkan tranksasi tanpa tunai dapat dipercepatkan kerana pengguna boleh berbelanja di kedai fizikal yang telah mempunyai touchpoints DuitNow QR di seluruh negara.

"ShopeePay adalah serasi dengan DuitNow QR dan pengguna yang menebus ePemula menggunakan ShopeePay boleh melakukan transaksi tanpa tunai di premis pilihan mereka, selain bakal menikmati ganjaran baucar tambahan bernilai RM500,” katanya menerusi rancangan Malaysia Petang Ini di BernamaTV.

Menurut Alain, perniagaan yang tidak mempunyai DuitNow QR boleh menggunakan perkhidmatan pembiayaan antara rakan setara (P2P) yang juga boleh digunakan bersama ShopeePay.

"ShopeePay juga menyediakan pulangan syiling dan pelbagai baucar yang boleh digunakan di dalam atau luar talian yang menjimatkan lebih banyak wang pengguna dalam jangka panjang,” katanya.

Tambah Alain, inisiatif ePemula yang tertumpu kepada transaksi tanpa tunai turut memberi manfaat kepada peniagaan terutamanya peniaga mikro dan kecil dengan menjadikan proses urus niaga harian lebih mudah.

"Ia (urus niaga) direkod secara digital dan kemudahan transaksi tanpa tunai tidak perlu menyediakan wang tukaran kerana jumlah bayaran boleh dilakukan secara tepat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan memperuntukkan RM300 juta bagi ePemula, inisiatif untuk menggalakkan perbelanjaan tanpa tunai dalam kalangan belia berumur 18 hingga 20 tahun serta pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi.

Menerusi program ini, sejumlah RM150 akan dikreditkan secara sekali sahaja ke dalam e-dompet penerima yang dijangka memanfaatkan kira-kira dua juta pengguna.

Individu yang layak akan menerima e-kredit melalui aplikasi e-dompet terpilih iaitu ShopeePay, BigPay, GrabPay dan Touch ‘n Go eWallet. - Bernama