UNITI, USIM meterai MoU tingkat kepakaran teknologi, penyelidikan

Jamal (dua dari kanan) dan Mohamed Ridza (dua dari kiri) selepas menandatangani MoU di Menara Arina-UNITI, Kuala Lumpur pada Khamis.
Jamal (dua dari kanan) dan Mohamed Ridza (dua dari kiri) selepas menandatangani MoU di Menara Arina-UNITI, Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan UNITI Asia (UNITI) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi mewujudkan kerjasama dalam bidang teknologi, penyelidikan dan pendidikan.

Presiden UNITI, Datuk Jamal Mohd Amin berkata, kerjasama itu bakal memberikan kebaikan kepada kedua-dua pihak selain menawarkan manfaat besar kepada masyarakat.

"Menerusi persefahaman ini juga, USIM dan UNITI akan bekerjasama serta mewujudkan sinergi dalam menawarkan kursus-kursus jangka pendek berakreditasi microcredential kepada pelajar di universiti awam tersebut di kampus Nilai dan juga institusi pengajian tinggi (IPT) Kumpulan UNITI Asia.

"Ketika ini, UNITI memiliki dua buah IPT iaitu Kolej UNITI Port Dickson dan Kolej UNITI Kota Bharu yang kedua-duanya berpengalaman selama 25 tahun," katanya selepas majlis menandatangani MoU di Menara Arina-UNITI di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, perjanjian tersebut juga akan membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam program-program akademik dan kajian khususnya membabitkan bidang halal.

"Kedua-dua pihak turut bersetuju bekerjasama untuk menawarkan program dan latihan keusahawanan kepada pelajar serta alumni UNITI dan USIM.

"Selain itu, UNITI dan USIM akan memberi komitmen untuk berkongsi pengetahuan dalam integrasi ilmu Naqli dan Aqli selain kerjasama lain yang berkaitan pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata, kerjasama dengan UNITI itu akan menyaksikan banyak sumber dan bidang dapat dimanfaatkan bersama serta memastikan ia dapat diperluas pada masa depan.

Artikel Berkaitan:

"Jika digabungkan kerjasama ini nanti, dapat kita memanfaatkan kepakaran dan jaringan kedua-dua belah pihak untuk membangunkan jaringan yang lebih besar.

"Selain itu, saya melihat ke hadapan hasil MoU ini terutama untuk memberikan impak kepada negara dan juga rantau ini.

"Untuk jangka masa pendek, kami menyasarkan untuk memberi tumpuan dalam program microcredential," katanya.