Harga tiket penerbangan tak sepatutnya mahal: Pas Sabah

Kementerian Pengangkutan (MOT) sewajarnya mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan perkara ini yang acap kali dihadapi oleh rakyat semasa perayaan. - Foto 123rf
Kementerian Pengangkutan (MOT) sewajarnya mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan perkara ini yang acap kali dihadapi oleh rakyat semasa perayaan. - Foto 123rf
A
A
A

KOTA KINABALU - Pas Sabah turut mengambil pendirian meminta syarikat penerbangan tidak mengambil kesempatan berikutan harga tiket penerbangan yang melambung naik menjelang musim perayaan.

Setiausaha Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, rakyat ketika ini baru saja memulakan kehidupan seperti biasa selepas dua tahun terpisah dengan keluarga dan ingin pulang ke kampung menyambut perayaan bersama-sama.

Katanya, Pas Sabah sangat kesal dengan harga tiket kapal terbang yang sangat mahal menjelang perayaan Aidilfitri.

"Perkara begini tidak sepatutnya berlaku. Sudah dua tahun rakyat tidak dapat menjalankan kehidupan berkeluarga dengan sempurna.

"Maka tahun ini merupakan peluang yang ada untuk mereka pulang beraya," katanya dalam kenyataan bagi mengulas isu tiket penerbangan yang mahal ketika ini.

Ujarnya, pihak syarikat penerbangan sepatutnya bertimbang rasa dan bertolak ansur berhubung harga tiket yang ditawarkan.

"Jangan ambil kesempatan daripada kesusahan rakyat. Apa salahnya harga biasa, saya yakin permintaan lebih tinggi dan boleh menjana keuntungan.

"Kementerian Pengangkutan (MOT) sewajarnya mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan perkara ini yang acap kali dihadapi oleh rakyat semasa perayaan," katanya.

Artikel Berkaitan: