OKT maut dipercayai akibat sawan

Polis
Polis
A
A
A

KAJANG - Seorang tahanan lelaki maut selepas dipercayai mengalami sawan di lokap Balai Polis Kajang pada Rabu.

Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, lelaki berumur 45 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital kira-kira jam 10.45 pagi.

Menurutnya, orang kena tahan (OKT) itu dipercayai mengalami sawan kira-kira jam 10.32 pagi, sebelum anggota bertugas kemudiannya bertindak menghubungi pihak hospital.

"Pihak hospital kemudiannya hadir membuat pemeriksaan terhadap OKT itu dan membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

"Semasa dalam perjalanan ke hospital, Penolong Pegawai Perubatan mengesahkan OKT telah meninggal dunia dan punca kematian masih belum diketahui," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Azri berkata, siasatan lanjut berhubung kes tersebut akan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Beliau berkata, pada 13 April lalu lelaki terbabit telah dituduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Bagaimanapun OKT tidak mengaku salah dan tiada penjamin. Dia ditumpangkan di lokap Balai Polis Kajang sebelum dihantar ke Penjara Satelit Beranang bagi reman penjara," katanya.

Artikel Berkaitan: