Penuh kejutan, bawa mimpi ngeri

Filem US
A
A

SETELAH sukses dengan filem arahan pertama, Get Out (2017), Jordan Peele kembali dengan buah tangan terbaharunya, Us, sebuah filem bergenre thriller seram yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam.

Us menceritakan tentang pasangan suami isteri bernama Gabe Wilson dan Adelaide Wilson, yang membawa kedua anak mereka untuk untuk bercuti di sebuah kawasan pantai sempena cuti musim panas.

Kawasan tersebut menyimpan kisah misteri yang dilalui Adelaide ketika zaman kecilnya menjadikan dia trauma untuk berada di kawasan pantai tersebut. Adelaide menjadi semakin paranoid malah menjangkakan sesuatu yang buruk akan terjadi pada keluarganya.

Ketakutan tersebut menjadi kenyataan apabila pada malam hari pertama mereka di sana, tetamu tidak diundang telah muncul di rumah mereka dan bertindak agresif dengan niat mencederakan Adelaide sekeluarga.

Secara keseluruhannya, Us merupakan buah naskhah yang boleh dianggap sebagai di luar jangkaan, complicated dan memberikan impak yang begitu besar kepada penonton.

Seawal filem bermula, penonton terus disajikan babak-babak yang penuh dengan kejutan, intense dan mengikat tumpuan sehingga ke penghujungnya.

Apatah lagi filem yang menelan belanja pembikinan sebanyak AS$24.6 juta tampil dengan plot penceritaan yang sangat genius dan memberikan impak kepada penonton dari pelbagai sudut.

Peele ternyata cuba membuktikan dia bukan pengarah yang sambil lewa dalam kerja, sebaliknya terlihat cukup details dalam segala aspek yang menggerakkan filem ini.

Penonton tidak dipaksa untuk rasa takut, terkejut, tertekan dan sebagainya, sebaliknya ia berlaku dengan sendirinya menerusi babak-babak intense yang dipaparkan dengan begitu kemas dan bijak.

Mungkin juga ketakutan ketika menonton filem ini akan terbawa-bawa sehingga ke luar panggung dan mungkin menjadi mimpi ngeri buat mereka yang tidak kuat semangat.

Sesuatu yang harus disebut juga adalah tentag lakonan barisan teraju utama, terutamanya Lupita Nyong’o, yang memberikan persembahan lakonan yang sangat cemerlang menerusi watak Adelaide. Lupita menjadi pusat tumpuan sepanjang penceritaan berlangsung.

Ada kejutan di penghujung ceritanya, mungkin juga merupakan klu kepada sekuel seterusnya.

Apa pun, Us merupakan sebuah filem wajib tonton dan mampu memberikan kepuasan yang tersendiri kepada anda terutama kepada mereka yang meminati genre ini.Us

INFO

PENGARAH: Jordan Peele

PELAKON : Lupita Nyong’o, Winston Duke, Shahadi Wright Joseph, Evan Alex

GENRE: Seram/thriller

DURASI: 117 Minit

KLASIFIKASI : 18

TAYANGAN : 21 Mac 2019

BINTANG: * * * *