Segera laksana MProRS

B Sathianathan (Laporan Sukan Sinar pada Selasa.)
B Sathianathan (Laporan Sukan Sinar pada Selasa.)
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) diminta menyegerakan pelaksanaan Sistem Pengadil Profesional Malaysia (MProRS) setelah ia dilancarkan pada Mac 2020.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, FAM harus kembali berada di landasan sebenar untuk ‘menterjemahkan’ sistem berkenaan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Malah, Sathianathan meminta FAM tidak berlengah lagi merangka strategi susulan beberapa keputusan kontroversi pengadil perlawanan dalam saingan Liga-M sejak kebelakangan ini.

“Program seperti MProRS ini adalah usaha yang baik daripada FAM terutamanya dalam meningkatkan lagi mutu pengadilan seterusnya mewujudkan golongan pengadil profesional di negara ini.

“Bagaimanapun, pengadil-pengadil yang terlibat dengan program-program berkenaan mestilah mesti ada niat untuk membantu meningkatkan lagi mutu pengadilan dalam arena bola sepak.

“Cuma saya berharap FAM tidak menunggu lama untuk kembali menjayakan MProRS ini. Kita tidak mahu lagi mendengar ada kontroversi membabitkan keputusan pengadil,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

MProRS turut terkandung dalam Peta Hala Tuju atau Roadmap F:30 FAM kerana dilihat mampu mencapai matlamatnya iaitu bagi meningkatkan lagi prestasi pengadil sedia ada.

Sebelum ini, FAM telah menyenarai pendek enam pengadil - Muhammad Nazmi Nasaruddin, Mohd Yaasin Mohd Hanafiah, Zulkarnain Zakaria, Muhammad Faizuddin Ismail, Razlan Joffri Ali dan Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman sebagai perantis bagi projek berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Kesemua mereka akan dinilai prestasi masing-masing dalam saingan Liga M sebelum dua pengadil terbaik akan ditawarkan kontrak untuk bergelar pengadil profesional pertama Malaysia.

Dua pengadil yang terpilih itu akan menikmati imbuhan lumayan kira-kira hampir RM500,000 setahun termasuk kos pengurusan dan pentadbiran.

Bagaimanapun, pelaksanaan MProRS pada 2021 terpaksa ditangguhkan ekoran penularan pandemik Covid-19 yang turut menjejaskan perjalanan Liga Malaysia (Liga-M).

Mengulas lanjtut, Sathianathan berkata, kejayaan pelbagai program berhubung peningkatan mutu pengadilan yang dianjurkan FAM sebenarnya bergantung kepada pelaksanaannya termasuk individu yang terlibat.

“Saya percaya semua program yang dianjurkan mahupun dirancang FAM adalah baik. Tetapi FAM mungkin ada sebab mereka tersendiri apabila tidak dapat meneruskan program yang dirancang.

“Setahu saya, projek MProRS ini hanya ditangguhkan sebab Covid-19. Mungkin selepas ini FAM akan kembali dengan perancangan mereka dalam meneruskan projek MProRS.

“Jadi kita tunggu sahaja apa yang akan FAM buat. Saya yakin FAM akan melakukan sesuatu dalam meningkatkan mutu pengadilan Liga-M,” ujarnya.