Siasat gumpalan rambut dalam kuih limas

Gambar yang tular menerusi Facebook segumpal rambut ditemui di dalam kuih limas yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di Teluk Intan.
Gambar yang tular menerusi Facebook segumpal rambut ditemui di dalam kuih limas yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di Teluk Intan.
A
A
A

IPOH - Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak sedang menyiasat kejadian tular pada 12 April berhubung gumpalan rambut ditemui di dalam kuih limas yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di Teluk Intan.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, berdasarkan risikan yang dijalankan, pengadu telah dikesan dan diminta untuk tampil ke Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak untuk membuat aduan secara rasmi.

Menurutnya, bapa pengadu yang membeli makanan yang tercemar tersebut telah hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak untuk membuat aduan secara rasmi.

"Makanan (kuih limas) yang diadukan tersebut masih disimpan oleh pengadu dan telah diserahkan kepada pihak pegawai penyiasat Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak untuk siasatan lanjut.

"Kes ini akan disiasat menggunakan Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan Akta Makanan 1983 (Akta 281)," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.

Mohd Akmal berkata, antara tindakan susulan yang dicadangkan untuk diambil adalah menjalankan siasatan di tempat kejadian, siasatan di tempat makanan disediakan dan Operasi Khas Kuih Limas.

Sementara itu, beliau menggesa pelanggan untuk membuat aduan sekiranya terdapat peniaga yang tidak mematuhi etika penyediaan dan penjualan makanan yang selamat.

Katanya, aduan boleh dibuat melalui laman web Sistem Pengurusan Aduan Bersepadu (SISPAA) Kementerian Kesihatan (KKM).

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, orang ramai juga boleh menyalurkan aduan dengan hadir terus ke pejabat kesihatan daerah berhampiran atau ke Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan negeri Perak atau melalui email jknperak@moh.gov.my.

Pada 12 April lalu, satu gambar makanan iaitu kuih limas tular di media sosial kerana terdapat segumpal rambut ditemui di dalam makanan tersebut.