Sampel makanan bazar Ramadan di Kedah diambil

Anggota dari Jabatan Kesihatan Negeri Kedah melakukan operasi pemeriksaan bazar Ramadan di bazar Ramadan Kelang Lama, Kulim, dekat sini, bagi memastikan keselamatan dan kebersihan makanan yang dijual terjamin.
Anggota dari Jabatan Kesihatan Negeri Kedah melakukan operasi pemeriksaan bazar Ramadan di bazar Ramadan Kelang Lama, Kulim, dekat sini, bagi memastikan keselamatan dan kebersihan makanan yang dijual terjamin.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Negeri Kedah telah mengambil sebanyak 38 sampel makanan di bazar Ramadan di Kedah tahun ini bagi memastikan keselamatan dan kebersihan makanan yang dijual terjamin.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, kesemua sampel makanan diambil melalui persampelan makanan di bazar itu dan masih menunggu keputusan daripada pihak makmal.

Menurutnya, setakat ini tiada sebarang kes keracunan makanan yang dilaporkan berpunca dari premis bazar Ramadan di Kedah.

"Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius isu keracunan makanan yang berlaku di premis-premis makanan.

"Pada tahun lepas, sebanyak 42 sampel makanan telah diambil dan didapati satu daripadanya telah dikesan kehadiran bakteria Coliform," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Dr Othman berkata, sebanyak 1,325 premis bazar Ramadan telah diperiksa, manakala seramai 2,132 orang pengendali makanan yang diperiksa dalam operasi pemeriksaan tahun ini.

"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 209 pengendali makanan tidak mempunyai suntikan anti tifoid dan sebanyak 269 pengendali makanan tidak menghadiri latihan pengendali makanan," katanya.

Tambah beliau, sebanyak 19 notis Seksyen 32B Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan ke atas pemilik dan pengendali makanan yang terlibat bagi ketidakpatuhan di bawah peraturan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, peniaga dinasihatkan sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan serta keselamatan makanan dan minuman yang dijual bagi mengelakkan kes keracunan makanan.

Beliau berkata, KKM menegaskan pemilik premis makanan bertanggungjawab untuk memastikan premis makanan mereka bersih pada setiap masa.

Katanya, tema aktiviti promosi bazar Ramadan adalah berkonsepkan Budaya 3M dan penjual atau pengendali makanan boleh mempraktikan budaya ini bagi mengelak keracunan dan pencemaran makanan.

"Selain itu, KKM ingin menasihatkan pengguna supaya sentiasa memilih premis makanan yang bersih," katanya.

Ujarnya, pengguna pula boleh mengamalkan konsep ‘Perhati dan Pilih’ sebelum membeli makanan serta konsep ‘Lihat,Hidu,Rasa’ sebelum menikmati juadah sama ada berbuka puasa ataupun sewaktu bersahur bagi mengelakkan keracunan makanan.

"Pengguna juga dinasihatkan supaya tidak menyimpan makanan yang mudah rosak sehingga waktu sahur seperti kerabu dan makanan berasaskan santan.

"Bagi makanan yang disimpan di dalam peti sejuk, pastikan makanan dipanaskan dengan sempurna sebelum dihidangkan," katanya.

Beliau menasihatkan pengguna yang mempunyai tanda-tanda seperti merasa loya, muntah, cirit birit atau sakit perut hendaklah segera ke klinik atau hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, pengguna yang merasa ragu-ragu dengan status keselamatan makanan di bazar Ramadan boleh menyalurkan aduan atau pertanyaan ke Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.