Sains siap siaga urus bekalan air Aidilfitri ini

Aminuddin (kiri) ketika merasmikan projek pecah tanah menaik taraf Loji Rawatan Air Gemas Baru pada petang Selasa.
Aminuddin (kiri) ketika merasmikan projek pecah tanah menaik taraf Loji Rawatan Air Gemas Baru pada petang Selasa.
A
A
A

TAMPIN - Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) sentiasa bersiap siaga dalam menguruskan bekalan air terawat di negeri ini terutamanya menghadapi jangkaan peningkatan penggunaan bekalan air semasa cuti perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tidak menolak akan berlaku peningkatan penggunaan air bermula 30 April hingga 8 Mei susulan lebih ramai yang pulang ke kampung tahun ini berbanding dua tahun sebelumnya.

"Kita jangkakan ramai yang akan pulang ke kampung lebih awal disebabkan cuti sempena hari pekerja dan cuti sekolah pada minggu tersebut.

"Tahun ini saya kira memberi cabaran buat Sains tambahan pula kemudahan bekalan air di Port Dickson dan Kuala Klawang, Jelebu masih belum dapat dipulihkan 100 peratus akibat banjir tempohari," katanya kepada pemberita selepas selesai Majlis Pecah Tanah Menaik Taraf Loji Rawatan Air Gemas Baru di sini pada petang Selasa.

Aminuddin berkata, justeru, perancangan bagi tindakan sewajarnya akan diambil melalui penubuhan Pelan Tindakan Kontigensi (PTK) Hari Raya Aidilfitri dan mesyuarat mengenainya akan diadakan pada 25 April nanti.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Aminuddin memaklumkan menerusi Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Negeri Sembilan yang telah ditandatangani antara Sains dan PAAB pada Disember 2008, PAAB telah mengambil alih jumlah hutang berkaitan pembangunan aset-aset air terdahulu oleh kerajaan negeri sebanyak RM1.74 bilion.

"Ia termasuk hutang yang dihapus kira berjumlah RM534.75 juta. Dalam tempoh itu, projek-projek utama yang disiapkan hasil pembiayaan PAAB telah berjaya meningkatkan kapasiti tambahan di loji-loji rawatan air sebagaimana yang dicadangkan di Negeri Sembilan.

"Penambahan itu meningkat kepada 72 juta liter sehari serta penambahan kapasiti tangki air berjumlah 101.6 juta liter air di seluruh negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Manakala, bagi tempoh 2021 sehingga 2023, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM347.25 juta untuk pembangunan bekalan air baharu melalui PAAB," katanya.

Jelas Aminuddin, ia termasuklah projek menaik taraf Loji Rawatan Air Gemas Baru yang dijangka meningkat kapasiti bekalan air sehingga 40 juta liter sehari (JLH) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM19.89 juta menerusi pembiayaan pajakan bulanan yang telah ditetapkan kepada PAAB.

"Ia melibatkan kerja-kerja pembinaan paip pengepaman baru dengan diameter 500 milimeter dari LRA Gemas Baru sehingga ke Kolam Imbangan Londah sepanjang 5.2 kilometer dan pemasangan dua unit pam baru di kawasan muka sauk dan empat unit pam baru di stesen pengepaman air terawat.

"Projek dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun 2023 ini akan memberi manfaat kepada hampir 15,000 akaun pengguna atau kira-kira 75,000 penduduk di daerah Tampin dan Jempol termasuk Guguasan Felda Palong 2 hingga 16," katanya.