Pelajar hilang di Perak dijumpai di Masjid Bandar Pontian

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Pelajar perempuan, Humaira Ahmad Fauzi, 14, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Desa Klebang Perdana, Chemor di sini, Ahad lepas ditemukan selamat di Pontian, Johor pada Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian bahawa Humaira dijumpai bersendirian di Masjid Bandar Pontian kira-kira jam 5 petang tadi.

"Ibu bapa Humaira juga berada di sana (Pontian) sekarang bersama pihak polis Pontian. Siasatan lanjut mengenai kes ini sedang dilakukan,” katanya ringkas kepada Bernama.

Terdahulu, Mior Faridalathrash dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan kehilangan remaja itu daripada bapanya, Ahmad Fauzi Ibrahim kira-kira jam 3 petang, Ahad lepas di Balai Polis Chemor.

Kakak pelajar tersebut, Sabrina, 24, dilaporkan berkata, adiknya tidak menunjukkan sebarang perubahan atau kelakuan pelik kecuali memakai stoking pada pagi kehilangannya atas alasan mengelak sejuk sebelum keluar rumah.

Humaira yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik sepatutnya pulang semula ke asrama sekolahnya di Simpang Empat, Semanggol pada Ahad, selepas selesai menjalani kuarantin kendiri di rumahnya akibat dijangkiti Covid-19.

Kisah kehilangan Humaira turut tular menerusi media sosial dengan ahli keluarga dan rakan-rakannya meminta jasa baik netizen supaya melaporkan kepada mereka jika menjumpai remaja itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: