Polis kesan pelajar perempuan hilang dari rumah

Kisah kehilangan Humaira tular di media sosial dengan ahli keluarga dan rakan-rakannya meminta jasa baik netizen melaporkan kepada mereka jika menjumpainya.
Kisah kehilangan Humaira tular di media sosial dengan ahli keluarga dan rakan-rakannya meminta jasa baik netizen melaporkan kepada mereka jika menjumpainya.
A
A
A

IPOH - Polis sedang mengesan seorang pelajar perempuan, Humaira Ahmad Fauzi, 14, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Desa Klebang Perdana, Chemor di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan remaja itu daripada bapanya, Ahmad Fauzi Ibrahim kira-kira jam 3 petang hari sama di Balai Polis Chemor.

"Kita telah membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP) Orang Hilang. Setakat ini belum ditemukan lagi. Kami juga telah meminta bantuan negeri lain bagi mengesan pelajar tersebut,” katanya kepada Bernama pada Selasa.

Sementara itu, kakak pelajar tersebut, Sabrina, 24, ketika dihubungi Bernama berkata, adiknya tidak menunjukkan sebarang perubahan atau kelakuan pelik kecuali memakai stoking pada pagi kehilangannya atas alasan mengelak sejuk sebelum keluar rumah.

Beliau berkata, Humaira yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik itu sepatutnya pulang semula ke asrama sekolahnya di Simpang Empat, Semanggol pada Ahad, selepas selesai menjalani kuarantin kendiri di rumahnya akibat dijangkiti Covid-19.

"Humaira hanya membawa beg galas yang biasa dia bawa dan tidak pula membawa barangan peribadi lain seperti fonkepala atau bantal kegemarannya.

"Adik saya tidak mempunyai ramai kawan sebab dia lebih suka menyendiri. Media sosial pun tidak aktif tetapi dia suka melukis,” katanya.

Kisah kehilangan Humaira turut tular menerusi media sosial dengan ahli keluarga dan rakan-rakannya meminta jasa baik netizen supaya melaporkan kepada mereka jika menjumpainya. - Bernama

Artikel Berkaitan: