8 PATI, tekong sembunyi dalam kebun sawit berjaya ditahan

Polis berjaya menahan PATI warga Myanmar yang melarikan diri selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas, pada Isnin. Foto Ihsan PDRM
Polis berjaya menahan PATI warga Myanmar yang melarikan diri selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas, pada Isnin. Foto Ihsan PDRM
A
A
A

PASIR PUTEH - Lapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar bersama tekong yang melarikan diri dan bersembunyi di dalam kebun kelapa sawit selepas kenderaan mereka terbabas di Ladang Felcra, Kampung Teratak Batu di sini, berjaya ditahan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, mereka yang berusia antara 15 dan 43 tahun termasuk dua wanita itu ditahan dalam operasi mencari bermula dari jam 8 pagi sehingga1 petang.

“Tangkapan awal membabitkan empat PATI lelaki warga Myanmar di kebun sawit itu.

“Sehingga jam 1 petang pula, lapan lagi PATI berjaya ditahan dan turut ditangkap pemandu kenderaan dipercayai tekong menjadikan keseluruhannya 13 tangkapan. Kesemua PATI ditahan mengikut seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Selasa.

Zaizul Rizal berkata, sementara itu ujian urin ke atas tekong lelaki warga tempatan tersebut didapati positif dadah dan dia disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran ( ATIPSOM) 2007.

Sebelum itu gerakan mencari PATI berkenaan dilakukan secara bersama oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, Kereta Peronda Polis (MPV) Pasir Mas, MPV Machang dan dibantu Unit K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan serta IPK Terengganu.

Artikel Berkaitan: