Penyelesaian kerajaan dengan Goldman Sachs pramatang: Anwar

ANWAR
ANWAR
A
A
A

SHAH ALAM- Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penyelesaian yang dicapai antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs sebagai pramatang.

Beliau berkata, Putrajaya juga dilihat gagal untuk mengambil kira tahap kerugian yang sedang dan akan terus ditanggung rakyat Malaysia.

Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng sebelum ini didapati bersalah oleh Mahkamah Amerika Syarikat (AS) kerana melakukan konspirasi menyeleweng ratusan juta dolar daripada syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Mengenai penglibatan jelas Goldman Sachs dalam 'penipuan' ini, saya mengulangi pendirian bahawa penyelesaian yang dicapai antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs pada 2020 adalah pramatang dan gagal untuk mempertimbangkan kerugian yang akan terus ditanggung oleh rakyat Malaysia," kata Anwar dalam satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Beliau menambah, walaupun Ng telah disabitkan dengan jenayah dalam kes 1MDB, adalah tidak jujur untuk mendakwa bahawa keadilan telah ditegakkan.

“Rakyat Malaysia berhak marah dan sangat kesal dengan watak-watak yang punya kuasa yang mampu untuk menghentikan rompakan ini dari berlaku. Namun, ternyata mereka bungkam dan benarkan ia berlaku. Malah kenyataan saksi sepanjang perbicaraan ini hanya mendedahkan kesalahan dan peranan yang dimainkan ramai dalam ‘penipuan’ ini.

“Sebagai mantan Menteri Kewangan, saya yakin jumlah dana yang sebegitu besar dengan potensi risiko yang begitu besar terhadap kewangan negara tidak akan boleh melepasi pengawasan dan penelitian negara tanpa tangan dan peranan pegawai-pegawai kanan kerajaan,” katanya.

“Pegawai-pegawai kanan Goldman Sachs yang terlibat dengan skandal 1MDB tidak boleh melepaskan diri dari kelalaian mereka serta kerosakan dan kerugian yang diakibatkan kepada Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ng, 49, dituduh mengambil sogokan AS$35.1 juta untuk membantu ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho (Jho Low) mencuri AS$2.7 bilion daripada 1MDB.

Dia didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat dan berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun jika sabit kesalahan terhadap kesemuanya.

Anwar berkata, terdapat banyak jaminan yang telah diberikan oleh pihak berkuasa bahawa Jho Low dan gerombolannya akan diberkas namun sehingga kini ia belum terhasil.

"Watak-watak ini bergerak bebas di Malaysia bertahun-tahun sehinggalah beberapa hari sebelum pilihan raya umum yang lepas. Berapa banyak peluang telah terlepas untuk mengheret para konspirator 'scam' ini ke muka pengadilan?

“Saya tidak akan berdiam diri selagi mana mereka ini tidak muncul di mahkamah di Malaysia,” katanya.