FIM2022 tumpu usaha sedia ekosistem francais lebih kondusif

Foto MFA
Foto MFA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2022 (FIM2022) ke-29 akan menumpukan kepada usaha penyediaan ekosistem francais yang kondusif bagi membantu pengusaha industri tempatan mengukuhkan perniagaan francais di dalam dan luar negara setelah berdepan pandemik Covid-19.

FIM2022 kali ini dianjurkan secara fizikal bertemakan 'Pembinaan Semula Pertumbuhan, Memacu Kecemerlangan' pada 8 hingga 10 September bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang bakal menjadi medan pertemuan rasmi antara penggiat industri dengan potensi pelabur dan bakal francaisinya, menurut satu kenyataan pada Isnin.

Pengerusi FIM2022 Deric Yeo berkata, penganjuran FIM2022 dapat membantu usahawan francais untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan, serta memberi peluang kepada perniagaan francais untuk berkembang yang seterusnya menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

"Program ini turut menjadi pusat sehenti bagi mendapatkan pelbagai maklumat mengenai francais dan ia terbuka kepada semua masyarakat termasuk penggiat industri, belia, pesara, wanita, pelajar, serta usahawan yang berhasrat untuk mengembangkan perniagaan melalui format perniagaan francais.

"Ia merupakan platform terbaik bagi orang ramai mendapatkan maklumat keusahawanan berkaitan bantuan dan insentif kerajaan, khidmat sokongan, aktiviti pembangunan serta program latihan yang tersedia di dalam industri francais. Ini sekali gus menggalakkan mereka untuk menceburi perniagaan berkonsepkan francais," katanya.

Program anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu turut disokong sepenuhnya dan diiktiraf oleh badan francais antarabangsa seperti Majlis Francais Dunia (WFC) dan Persekutuan Francais Asia Pasifik (APFC) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

FIM2022 telah menyediakan lebih 100 ruang pameran dan telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada penggiat industri francais seperti Ayam Penyet Best, Boat Noodle, Daily Fresh, Global Art, Genius Aulad, Hot & Roll, Kenny Rogers Roasters, Laundrybar, Marrybrown, Myeongdong Topokki, Mail Boxes Etc, Oldtown White Coffee, Poney, Siti Khadijah dan Smart Reader Kids.

Sementara itu, bagi menambah keunikan FIM2022, antara aktiviti utama yang disediakan adalah Pameran dan Persidangan Antarabangsa, Bengkel Peluang Perniagaan Francais dan Sesi Pemadanan Perniagaan Francais.

Artikel Berkaitan:

Maklumat lanjut mengenai penganjuran dan pengisian FIM2022 boleh didapati dengan menghubungi urus setia di talian 03-6241 4141 atau melayari laman sesawang MFA di www.mfa.org.my. - Bernama