Sah Petronas Carigali disiasat SPRM

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang menyiasat isu rasuah berhubung projek di Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB).

Menerusi kenyataannya pada Isnin, SPRM berkata, sehingga kini sembilan individu telah ditahan sejak Jumaat lalu.

"Salah seorang daripadanya merupakan eksekutif muda PCSB dan bukannya ketua pegawai operasi eksekutif (CEO) seperti dakwaan segelintir pihak," katanya.

Ujar SPRM, lapan lagi individu yang turut ditahan merupakan pemilik dan pegawai kanan syarikat-syarikat kontraktor serta vendor yang menjalankan projek berkaitan isu rasuah tersebut.

"Siasatan ini merupakan hasil kerjasama dan perkongsian maklumat antara SPRM dan Petronas bagi membantu memperkukuhkan integriti di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan," katanya.

Sebelum ini, SPRM dilapor menahan suspek selepas dipercayai terbabit dalam perlakuan rasuah dalam projek-projek milik sebuah GLC dengan anggaran nilai kontrak keseluruhan melebihi RM2.3 bilion antara tahun 2017 hingga 2021.

Susulan daripada penahanan tersebut, SPRM menyita 10 buah kenderaan mewah pelbagai jenama, lebih RM27,000 mata wang tunai asing, lebih 50 barangan kemas termasuk jongkong emas, 15 jam tangan mewah, 13 beg tangan mewah serta membekalkan 12 akaun syarikat serta individu yang terlibat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan: