Peluang kedua Streram bukti keupayaan diri

Dr S Streram yang dinamakan semula sebagai calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Rantau 13 April ini. - Foto Bernama
A
A

SEREMBAN - Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S. Streram, yang dinamakan semula sebagai calon Pakatan Harapan bagi PRK DUN Rantau 13 April ini, berazam untuk membuktikan keupayaan diri dalam memberi kemenangan bermakna kepada PH, khususnya di peringkat negeri.

Pakar bius berusia 60 tahun itu diberi peluang kedua sebagai calon PH, setelah sebelum ini dinafikan haknya bertanding pada PRU14 Mei tahun lepas selepas dihalang masuk ke pusat penamaan calon ekoran ketiadaan pas Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Ini peluang kedua saya dan saya akan bekerja bersungguh-sungguh untuk menang. Saya tidak mahu memandang rendah kepada lawan atau terlalu yakin untuk menang dalam PRK ini, tetapi perkara ini bukan yang seharusnya saya fikirkan sangat.

“Saya yakin akan menang tetapi keutamaan saya adalah untuk memberi tumpuan dalam meyakinkan pengundi DUN Rantau mengapa mereka perlu memilih saya,” katanya.

Beliau berpendapat pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan negeri yang diterajui PH merupakan antara faktor yang memberi kelebihan kepadanya untuk menang.

“Saya tidak rasa PRK ini memberi tekanan kepada saya berbanding PRU14 yang mana ketika itu sepatutnya saya bertemu dengan lawan saya iaitu seorang menteri besar (Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini merupakan bekas menteri besar),” katanya.

Malam tadi, Mohamad mengumumkan akan mempertahankan kerusi DUN Rantau pada PRK 13 April ini.

Menyedari DUN Rantau merupakan kubu kuat BN selama ini, Streram yang lebih gemar menggelarkan diri sebagai calon ‘underdog’ berkata corak kempen yang lebih agresif akan dilakukannya bagi memastikan kemenangan dicapai.

“Saya dan jentera PH akan berusaha keras menawan hati pengundi walaupun saya merupakan calon underdog...setakat ini saya boleh katakan peluang adalah pada sekitar 50-50,” katanya, dan menambah, setakat ini pihaknya telah merangka lebih 10 program setiap hari sepanjang kempen PRK berkenaan.

DUN Rantau yang memiliki keluasan 15,960.74 hektar, mempunyai seramai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat orang pengundi tidak hadir luar negara.

Daripada jumlah tersebut, 55.11 peratus atau 11,283 adalah pengundi Melayu, Cina (18.80 peratus atau 3,849), India (26.06 peratus atau 5,336) dan lain-lain (0.02 peratus atau empat).

DUN Rantau memiliki kelompok pengundi dewasa yang ramai berumur 40 hingga 59 tahun iaitu 8,538 atau 40.37 peratus, diikuti golongan pengundi belia yang berumur 21 hingga 39 tahun iaitu 7,589 orang atau 36.26 peratus, serta warga emas yang berumur 60 tahun ke atas 4,799 atau 22.94 peratus.

Menyifatkan persaingan PRK berkenaan sebagai sengit, Streram berkata, pelbagai strategi dirangka termasuk menggunakan pengalamannya sebagai pakar bius sepenuhnya bagi menambat hati pengundi.

“Saya berasal daripada keluarga miskin dan saya faham apa itu kesusahan. Jadi saya akan gunakan pengalaman saya sebagai doktor untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Rantau dan saya rayu pengundi untuk menilai dahulu perbezaan antara PH dan BN,” katanya.

Bagi PRK DUN Rantau, bapa tiga orang anak itu berkata lima agenda yang akan diketengahkannya sebagai misi dan visi sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat adalah pembinaan lebih banyak rumah mampu milik; peluang pekerjaan; kemudahan kesihatan; mengurangkan kawasan banjir; serta ekonomi.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada PRU14, terbatal dan tidak sah.

Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dan pada ketika ini, komposisi di DUN ialah 20 kerusi dikuasai PH manakala baki 16 kerusi dimiliki BN.

PRK DUN Rantau adalah PRK ketujuh selepas PRU14 pada Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Januari) serta DUN Semenyih (2 Mac). - Bernama