MH2664: MAB fail laporan kejadian mandatori kepada CAAM

Malaysia Airlines Bhd
Malaysia Airlines Bhd
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines Bhd (MAB) telah memfailkan Laporan Kejadian Mandatori kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) susulan isu teknikal dalam insiden yang membabitkan penerbangan pesawat MH2664.

Pesawat itu berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semasa dalam perjalanan ke Tawau pada Ahad lalu (3 April).

MAB dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, laporan itu difailkan seperti yang diperlukan di bawah Peraturan 165 Peraturan Penerbangan Awam 2016 untuk tindakan oleh CAAM sebagai sebahagian daripada keperluan pemantauan dan resolusi keselamatan.

Sepanjang minggu lepas, syarikat penerbangan itu telah bekerjasama rapat dengan CAAM untuk mengenal pasti punca kejadian serta mengkaji tindakan yang diambil oleh juruterbangnya.

"Syarikat penerbangan itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengenai sebarang tindakan menyembunyikan maklumat daripada orang ramai tetapi sebaliknya, sentiasa mematuhi prosedur standard yang diperlukan.

"Malaysia Airlines kesal dan memohon maaf atas kebimbangan dan ketidakselesaan yang dialami oleh penumpang penerbangan,” menurut kenyataan itu.

MAB menegaskan bahawa ia sentiasa komited sepenuhnya dalam memastikan keselamatan penumpang dan mematuhi agar semua langkah pembaikan seperti yang digariskan oleh CAAM, dapat dilaksanakan dengan segera.

Pada Ahad, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Chester Voo dilaporkan berkata, isu teknikal yang berlaku semasa penerbangan itu adalah disebabkan faktor malfungsi sistem pitot-statik, iaitu alat yang digunakan untuk mengukur perbezaan tekanan udara bagi menentukan kelajuan dan ketinggian.

Artikel Berkaitan:

"Malfungsi itu telah memberikan petunjuk kelajuan palsu dan menyebabkan pesawat itu terbang menjulang dan autojuruterbang telah dinyahaktifkan," katanya. - Bernama