IMC nafi terima konsesi pasir untuk Perak FC

Muhammad Yunus Zakariah
Muhammad Yunus Zakariah
A
A
A

PEMILIK Perak FC, Impact Media and Communication (IMC) Sdn Bhd menafikan tuduhan pihak tertentu kononnya syarikat berkenaan menerima konsesi pasir daripada kerajaan negeri Perak.

Sebelum ini terdapat juga tuduhan yang berlegar di media sosial mendakwa Perak FC dan IMC diberikan sebidang tanah bernilai RM400 juta dan sebuah kuari di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif IMC, Muhammad Yunus Zakariah berkata, tuduhan tersebut mendakwa lesen konsesi pasir itu diberikan kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan seorang pegawai teknikal kanan kelab berkenaan.

Menurutnya, Perak FC mahu pun IMC tidak pernah menerima sebarang anugerah sama ada hartanah dan aset milik kerajaan negeri seperti yang didakwa.

"Kami ingin tegaskan bahawa sehingga hari ini kita tidak menerima sebarang bantuan dana atau diberikan sebarang konsesi daripada kerajaan negeri atau mana-mana anak syarikat kerajaan negeri.

"Berdasarkan pengetahuan kami, konsesi pasir yang dimaksudkan telah diberikan pada bulan Oktober 2021 iaitu sebelum IMC terlibat dengan bola sepak Perak," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Isnin.

Beliau berkata, tuduhan tersebut disifatkan sebagai berniat jahat dan cubaan pihak tertentu untuk menggagalkan usaha IMC untuk menjual pemilikan Perak FC.

Muhammad Yunus berkata, pihaknya dijadual akan bertemu dengan bakal pembeli berkenaan pada hari ini bagi berbincang untuk menyerahkan pemilikan kelab sebelum akhir minggu ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pada minggu lalu, sebuah konsortium yang diwakili sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) kembali dengan sebuah tawaran susulan untuk membeli dan mengambil alih 100 peratus pemilikan kelab.

Perak FC baru-baru ini dikenakan pemotongan mata dan menghadapi kemungkinan lesen kelab ditarik pada akhir bulan disebabkan gagal melunaskan pembayaran gaji bagi tahun 2021.