Pemilikan Perak FC: Pihak berminat perlu kemuka 'proof of funds'

Gambar kanan: Stuart Ramalingam
Gambar kanan: Stuart Ramalingam
A
A
A

PEMILIK Perak FC, Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd tetap perlu mengemukakan pembuktian dana (proof of funds) pihak yang berminat membeli kelab Liga Premier itu kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam yang turut memaklumkan pihaknya telah menghubungi IMC mengenai keperluan dokumen 'proof of funds' dalam proses pertukaran pemilikan Perak FC.

“Untuk makluman, proof of funds ini bukannya bukti pembayaran tunggakan gaji kepada pemain bagi musim 2021 dan 2022.

“Setelah kami menerima dan meluluskan proof of funds itu, dana berkenaan perlu didepositkan ke akaun bank khas sebelum diagihkan kepada pemain dan pegawai pasukan bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji.

“Seterusnya... hanya setelah pembayaran hutang dan tunggakan gaji selesai, barulah kita akan mempertimbangkan bahawa isu berkenaan selesai, jika tidak, pemotongan mata tetap diteruskan.

“Kita telah hubungi mereka (IMC) dan memaklumkan mengenai perkara berkenaan selain menerangkan mengenai keperluan dokumen 'proof of funds' itu.

“MFL juga memerlukan dokumen pelan penyelesaian perkara tertunggak (settlements plans for the overdue) dan business plan 2022 daripada pihak baharu yang mahu mengambil alih Perak FC,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Sabtu lalu, Pengerusi Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Nizam Mahmood dilaporkan mahu meneruskan serahan kelab berkenaan kepada pemilik baharu tanpa 'proof of funds'.

Artikel Berkaitan:

Ia berikutan IMC masih belum menerima apa-apa dokumen terutamanya 'proof of funds' daripada pihak yang menyatakan telah minat untuk memiliki sepenuhnya saham Perak FC.

“Kami akan teruskan walaupun tanpa proof of funds dan kemungkinan akan timbulnya bantahan daripada MFL, berikutan tekanan yang meningkat daripada peminat dan bekas pemain,” jelasnya.