Syed Saddiq persoal tablet PerantiSiswa secara pinjaman

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan skim program PerantiSiswa yang dibuat secara pinjaman.

Menurutnya, tablet menerusi program ini sepatutnya diberikan terus berbanding dipulangkan semula selepas menamatkan pengajian.

“Sebab bila bagi balik, banyak proses yang kena dilakukan oleh kerajaan. Sebagai contoh, kena tunggu pelajar-pelajar pulangkan.

“Selepas itu, kerajaan kena semak satu persatu tengok ada rosak ke tidak. Bila ada rosak, kena tunggu pula untuk baiki.

“Walaupun kerajaan masih lagi tak nyatakan pelan jangka masa panjang sama ada tablet yang dipulangkan akan diberikan kepada pelajar seterusnya, adalah lebih baik kita bagi terus sahaja,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas laporan yang memetik Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengatakan bahawa pelajar perlu memulangkan tablet yang dipinjam selepas mereka menamatkan pengajian.

Syed Saddiq yang juga merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan turut mencadangkan agar skim PerantiSiswa ini dibuat secara pinjaman terus kerana ia merupakan suatu bentuk pelaburan kepada pelajar terbabit.

“Ini adalah satu pelaburan untuk pelajar-pelajar, selepas tamat pengajian mereka masih memerlukan untuk menggunakan peranti tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Kalau tidak, macam mana mereka nak mencari dan memohon kerja? Sekarang, semua dibuat melalui dalam talian,” katanya.

Tambah Syed Saddiq, kerajaan juga seharusnya memikirkan dengan betul kaedah skim PerantiSiswa terbabit dan sentiasa telus dengan pelajar.

“Tablet macam ni bukanlah macam PC (komputer). Boleh senang ganti dengan perkakasan baru selepas itu (boleh) guna macam PC baru.

“Jangka hayat tablet ni selalunya empat hingga lima tahun. Selepas itu mulalah tablet ini akan perlahan dan tidak serasi dengan perisian terkini,” jelasnya.