JKNT siasat kes keracunan kerana puding buih

Dua beradik mengalami cirit-birit dan muntah selepas dipercayai memakan puding buih. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Kasemani)
Dua beradik mengalami cirit-birit dan muntah selepas dipercayai memakan puding buih. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Kasemani)
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sedang menyiasat kes dua beradik yang mengalami cirit birit dan muntah selepas dipercayai memakan puding buih dibeli di bazar Ramadan.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, sampel puding buih tersebut akan diambil untuk dianalisis dan keputusan ujian makmal dijangka diperoleh dalam tempoh tujuh hari lagi.

“Sampel makanan tersebut akan dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Bukit Tunggal untuk siasatan,” katanya di sini pada Ahad.

Sementara itu, Dr Kasemani turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli juadah yang dijual sepanjang Ramadan bagi mengelak berlakunya kes keracunan makanan.

Beliau berkata, kaedah lihat, hidu dan rasa pada makanan sebelum ia dimakan perlu menjadi amalan terutama masakan yang menggunakan telur sebagai antara ramuannya.

"Telur yang tidak dimasak sempurna mempunyai risiko menyebabkan keracunan makanan kerana ianya boleh mengandungi bakteria salmonella," katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, dua beradik berusia sembilan dan tujuh tahun mengalami cirit-birit dan muntah selepas dipercayai memakan puding buih dibeli ibunya di sebuah bazar Ramadan.

Berikutan kejadian itu, kanak-kanak tersebut dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Khamis dan kedua-duanya yang masih menerima rawatan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Artikel Berkaitan: