Muktamad subsidi selepas tahu jumlah kuota jemaah haji

Idris (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima dalam Majlis Sumbangan Infaq Kasih Ramadan kawasan Kapar pada Ahad.
Idris (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima dalam Majlis Sumbangan Infaq Kasih Ramadan kawasan Kapar pada Ahad.
A
A
A

KLANG - Kerajaan akan menetapkan subsidi yang akan diberikan tahun ini selepas mendapat jumlah sebenar kuota jemaah haji yang akan diumumkan oleh Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, beliau akan berbincang bersama Lembaga Tabung Haji (TH) untuk memuktamadkan jumlah subsidi tersebut.

"Apabila dapat bilangan kuota sebenar, Insya-ALLAH kita akan duduk berbincang untuk jumlah subsidi yang diberikan," katanya selepas merasmikan Majlis Sumbangan Infaq Kasih Ramadan kawasan Kapar pada Ahad.

Pada Khamis, TH menjelaskan kos menunaikan haji akan meningkat kepada 12 peratus tahun ini berbanding RM22,900 bagi seorang jemaah haji pada 2019.

Ia mengambil kira kenaikan cukai tambah nilai (VAT) daripada lima peratus kepada 15 peratus dan beberapa caj perkhidmatan tambahan lain.

TH telah mengekalkan kadar bayaran haji sebanyak RM9,980 sejak 13 tahun lepas walaupun kos untuk menunaikan haji meningkat setiap tahun.

Sementara itu, Idris mengambil maklum mengenai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melarang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan-keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

"Saya ingat dalam soal ini sudah jelas, saya pun tidak ada komen mengenai perkara tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, Sultan Sharafuddin bertitah segala keputusan yang dibuat MKI adalah berada di bawah bidang kuasa baginda selaku Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI dan Majlis Raja-Raja.

Baginda bertitah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan timbalannya tidak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah.

Sebaliknya, hanya Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah yang boleh menyembah maklum kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan dan pelaksanaan keputusan muzakarah diserahkan kepada pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa agama Islam setiap negeri.