Lima cicit tumpang kasih moyang

Awa sangat menyayangi kesemua cicitnya dan tidak mahu mereka berpisah.
Awa sangat menyayangi kesemua cicitnya dan tidak mahu mereka berpisah.
A
A
A

MELAKA - Biarpun hanya bergantung wang pencen setiap bulan namun seorang warga emas berusaha menjaga lima daripada enam cicitnya sejak mereka lahir.

Awa Minhat, 79, berkata, kesemua mereka berusia tujuh hingga 19 tahun termasuk seorang yang menghadapi masalah usus tinggal bersamanya kerana ibu bapa mereka bercerai.

Awa yang juga penghidap kencing manis memberitahu, walaupun ada individu yang mahu mengambil cicitnya sebagai anak angkat namun dia tidak sanggup berpisah dan akan terus menjaga mereka hingga akhir hayat.

Menurutnya, ibu kesemua cucunya itu kini mempunyai keluarga baharu selain nenek mereka sudah lama meninggal dunia akibat kanser payudara.

"Saya tidak pernah menghalang jika mereka mahu tinggal bersama ibu kandung tetapi anak-anak ini lebih suka bersama saya di sini walaupun serba kekurangan.

"Mereka juga memanggil saya 'mak'. Bagi anak-anak ini saya ibu, saya juga bapa," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampungku Sayang, Bukit Baru, di sini, pada Sabtu.

Pesara atendan hospital bersyukur kerana wang pencen RM1,000 yang diterimanya setiap bulan masih mampu menampung dan menyara cicit-cicitnya selain wang bulanan berjumlah RM200 daripada ibu mereka.

Menurutnya, kesemua cicitnya tidak pernah meminta-minta dan memahami kesukaran hidup mereka sekeluarga termasuk cicit perempuan paling kecil yang kini berada di Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Baru.

Artikel Berkaitan:

Menyedari kepentingan pendidikan untuk cicitnya, Awa memastikan kesemua mereka termasuk tiga yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tijah hadir ke sekolah setiap hari selain memberi semangat kepada cicit yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Awa menunjukkan sebahagian ubat yang perlu diambil cicitnya berusia lapan tahun kerana mengalami masalah usus.
Awa menunjukkan sebahagian ubat yang perlu diambil cicitnya berusia lapan tahun kerana mengalami masalah usus.

"Setakat ini semua tiada masalah ke sekolah cuma yang berusia lapan tahun sering mengalami sakit dan perlu berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Ditanya mengenai persiapan hari raya yang disambut setiap tahun, Awa mengakui hari istimewa umat Islam itu disambut sederhana sahaja tetapi tetap berusaha membelikan sepasang baju raya untuk cicit-cicitnya itu.

"Sekurang-kurangnya dapat menggembirakan mereka yang sekian lama tidak dapat merasai nikmat beraya bersama kedua ibu bapa," katanya.

Ujarnya, setiap kali solat dia akan berdoa semoga ALLAH SWT memberikan kudrat dan kesihatan yang baik untuk terus menguruskan cicit terutama dua yang masih kecil.

"Itulah doa saya. Bagaimana keadaan cicit saya yang berusia tujuh dan lapan tahun ini jika saya tidak ada lagi," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Burhanuddin Bachik berkata, wakil JKM sudah bertemu dan mengenal pasti anak-anak itu layak menerima Bantuan Kanak Kanak RM600 sebulan.

"JKM juga mengambil tindakan awal membuat penyerahan sumbangan barangan makanan serta bantuan Tabung Bantuan Segera berjumlah RM200.

"Bantuan Kanak Kanak itu akan diberikan kepada warga emas terbabit sebagai wakil bermula Mei depan sehingga April 2023," katanya.