Skuad SEA: Skuad kyorugi sambut Aidilfitri di perantauan

Rusfredy Tokan Petrus
Rusfredy Tokan Petrus
A
A
A

TIGA atlet taekwando negara yang mewakili skuad kyorugi (tempur) terpaksa menyambut Aidilfitri di perantauan apabila menjalani latihan intensif di Korea Selatan bermula Ahad ini sebagai persiapan akhir menjelang Sukan SEA Hanoi di Vietnam dijadual pada 12 hingga 23 Mei ini.

Jurulatih negara Rusfredy Tokan Petrus berkata, ketiga-tiganya ialah pemenang perak Sukan SEA 2019 Ahmad Nor Iman Hakim Rakib (68 kilogram (kg) featherweight), Muhammad Syafiq Zuber (80kg welterweight) dan Nurul Farah Alisa Roslan (63kg lightweight).

Selain mereka, dua lagi atlet yang turut mengikuti latihan intensif di negara itu ialah Sebastian Tan Chung Wan (54kg finweight) dan Fu Cern Put Thai (58kg flyweight).

Rusfredy berkata, pemilihan Korea Selatan yang sering menjadi medan persediaan terakhir pasukan kebangsaan sebelum bertanding di temasya dwitahunan itu adalah bagi meningkatkan tahap mental dan fizikal atlet menjelang aksi di Vietnam nanti.

“Persediaan (Sukan SEA Hanoi) berjalan lancar... semoga para atlet dapat bersedia dari segi psikologi sebelum ke Korea Selatan kerana intensiti latihan sangat tinggi dan diharapkan mereka dapat tahan dengan tekanan dihadapi di sana.

“Lebih istimewa lagi, kebiasaannya mereka akan berlatih empat kali sehari di Korea Selatan selain boleh bertukar rakan seperlatihan dengan sesiapa sahaja di venue latihan nanti,” katanya pada sidang media pada Jumaat.

Dalam pada itu, Rusfredy berharap, strategi menaikkan berat badan Muhammad Syafiq yang sebelum ini pernah meraih gangsa bagi acara 74kg lightweight di Sukan SEA 2019 di Filipina akan mencerahkan peluang beliau untuk meraih pingat bagi acara baharu iaitu 80kg welterweight memandangkan kategori lamanya didominasi atlet tuan rumah, Filipina dan Thailand.

Beliau pada masa sama memaklumkan, keputusan menukar kategori Ahmad Nor Iman daripada 63kg bantamweight kepada 68kg featherweight dilakukan susulan penambahan berat badannya dan berharap agar atlet berkenaan dapat memberi saingan hebat susulan tentangan sengit bakal dihadapi dalam kategori baharunya.

Artikel Berkaitan:

Pengurus pasukan, Ong Thiam Hock pula memberitahu, skuad negara akan menjalani latihan fasa akhir di Chungnam Physical Education High School hingga 13 Mei depan sebelum dijangka berlepas ke Vietnam dari Korea Selatan pada 14 Mei dan mula bertanding pada 19 Mei.

Ong berkata, belum lagi menetapkan sebarang sasaran bagi Sukan SEA kali ini kerana mahu menilai prestasi atlet ketika berlatih di Korea Selatan terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.

Sementara itu, Ahmad Nor Iman yang gembira dapat berpeluang ke luar negara setelah kali terakhir sewaktu mewakili negara pada Sukan SEA 2019 di Manila percaya, tempoh sebulan berlatih di Korea Selatan memadai baginya untuk menyiapkan diri selain berazam memberi persembahan terbaik di Vietnam.

Muhammad Syafiq pula tidak mempunyai sebarang masalah selain mengakui penyertaannya dalam kategori baharu itu ternyata meningkatkan tahap keyakinan untuk beraksi nanti. - Bernama