Guna wang palsu beli barang, dua lelaki dicekup

Asisten Komisioner Jasmin Hussin
Asisten Komisioner Jasmin Hussin
A
A
A

TAWAU - Dua lelaki ditahan selepas didapati terlibat menggunakan wang palsu untuk membeli-belah di beberapa premis sekitar Bandar Tawau.

Kedua-dua lelaki tempatan berusia 20-an itu ditahan di kawasan stesen minyak di Jalan Mawar, di sini, kira-kira jam 10.40 pagi Rabu selain merampas sebuah kenderaan dan telefon bimbit serta sekeping wang RM100.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan itu dibuat berdasarkan aduan orang awam berhubung penggunaan wang palsu itu.

"Siasatan mendapati modus operandi suspek ialah mengunjungi premis yang mempunyai ramai pelanggan memandangkan ketika itu juruwang sibuk menyebabkan mereka terlepas pandang untuk memeriksa wang yang diberikan ketika membuat pembayaran.

"Taktik yang mereka guna adalah membayar barangan menggunakan wang kertas tulen namun dalam masa sama diselitkan juga bersama wang palsu berkenaan. Jika juruwang tidak berhati-hati, mereka akan menjadi mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Artikel Berkaitan: