RUU Anti Lompat Parti: Abdul Hadi kata tidak perlu gopoh

Abdul Hadi ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, di sini pada Jumaat.
Abdul Hadi ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, di sini pada Jumaat.
A
A
A

MARANG - Pas berpendapat penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti tidak perlu dilakukan secara gopoh.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, rang undang-undang itu memerlukan penelitian mendalam dan menyeluruh sebelum dibentang serta dibahaskan di Parlimen.

“Kita kena sedar lompat parti ini ada sebabnya. Jika sebab (lompat parti) itu betul, tidak boleh tolak tapi kalau sebab itu salah baru kita tolak. Ini perlu kepada pentaksiran kerana perjuangan kita selamatkan rakyat, bukan selamatkan diri.

“Kalau parti itu sudah tidak betul, takkan dia mahu ikut parti itu lagi, termasuk Pas sendiri, kalau Pas sudah ubah dasar orang Pas tidak boleh ikut. Sebab itu ia perlu ada huraian dan tidak boleh buat mudah-mudah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, di sini pada Jumaat.

Menurut Abdul Hadi, lompat parti bukan isu baharu kerana masalah tersebut sudah berlaku sejak tahun 1959 dan kerajaan Pas di Terengganu dan Kelantan sendiri pernah jatuh akibat tindakan berkenaan.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, pengalaman itu menyebabkan Pas memperkenalkan baiah.

“Pas sebut dalam baiah, mana-mana wakil rakyat Pas lompat parti wajib letak jawatan, jika tidak akan dilaknat oleh ALLAH SWT. Kita sudah ikat kerana kita sudah lama menghadapi masalah ini.

“Memang undang-udang ini perlukan penelitian, tidak perlu gopoh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abdul Hadi turut menolak dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melengah-lengahkan pembentangan RUU Anti Lompat Parti.

“Tidak timbul isu berlengah-lengah kerana Bersatu akan berbincang dengan kita dan rakan dalam PN termasuk Sarawak dan Sabah serta sebahagian UMNO,” katanya.