Tilawah al-Quran DMDI ke-12 secara maya tawar RM33,800

Che Sukri
Che Sukri
A
A
A

MELAKA - Majlis Tilawah Al-Quran Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Ke-12 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM33,800 akan berlangsung secara dalam talian pada 12 dan 13 April ini di Auditorium Masjid Al-Azim di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal majlis berkenaan Datuk Che Sukri Che Mat berkata, acara itu akan disertai 52 orang peserta dari lapan negara iaitu Malaysia, Afrika Selatan, Thailand, Singapura, Indonesia, Kemboja, Mauritius dan Australia.

"Peserta dari Malaysia pula akan disertai qari dan qariah dari Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Selangor, Kedah dan Terengganu dan kesemua peserta perlu menjalani saringan pada 12 April, manakala pertandingan akhir dan majlis penyampaian hadiah akan berlangsung pada 13 April.

"Majlis tilawah berkenaan akan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian dan sebanyak sembilan juri akan mengadili bacaan dan penyampaian qari dan qariah tersebut," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, majlis anjuran DMDI, Jabatan Agama Islam Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka itu menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 bagi johan, naib johan (RM3,000) dan tempat ketiga RM2,000, bagi setiap kategori qari dan qariah, selain sagu hati RM300.

Che Sukri berkata, penyampaian hadiah akan turut dijalankan secara dalam talian yang akan disiarkan menerusi platform Facebook DMDI.

Beliau berkata, ini adalah kali kedua acara tersebut diadakan secara dalam talian bagi mencegah penularan Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: