Hargai ‘kebebasan’ yang sedang dinikmati

Petak berjarak tiga meter antara satu sama lain bagi membolehkan pengunjung menjaga jarak dan mematuhi SOP. Foto: FB Majlis Bandaraya Kuantan
Petak berjarak tiga meter antara satu sama lain bagi membolehkan pengunjung menjaga jarak dan mematuhi SOP. Foto: FB Majlis Bandaraya Kuantan
A
A
A

FASA peralihan endemik memberi khabar gembira kepada seluruh rakyat Malaysia apabila pergerakan dan aktiviti seharian mereka kembali ‘bebas’ selepas dua tahun berdepan Covid-19.

Kebebasan yang ditunggu-tunggu itu lebih bermakna ketika umat Islam sedang menjalani ibadat berpuasa pada bulan Ramadan dan bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Imbas kembali, dua tahun lalu pergerakan dikekang, dilarang berkumpul bersama ahli keluarga atau rakan, bazar Ramadan ditutup, tidak dibenarkan solat berjemaah di masjid atau surau, apatah lagi meneruskan tradisi berbuka puasa di tempat terbuka seperti di padang yang ditegah sama sekali.

Kini, semua sekatan tersebut telah dilonggarkan. Tiada lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun rakyat masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Bagi warga Kuantan, Pahang, acara berbuka puasa di padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK 1) adalah antara yang ditunggu-tunggu mereka selama lebih dua tahun.

Kali ini acara tradisi itu dibenarkan selepas kerajaan mendapat lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), sekali gus mengubat rindu mereka.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sendiri mengumumkan kebenaran berbuka puasa di padang MBK 1 sepanjang Ramadan tahun ini. Keputusan dibuat selepas mengambil kira kadar kebolehjangkitan yang rendah di kawasan terbuka.

Trend tersebut menjadi pilihan rakyat Pahang yang mahu menghidupkan amalan berbuka puasa beramai-ramai termasuk bersama keluarga.

Artikel Berkaitan:

Empat tahun lalu, ratusan umat Islam memenuhi padang berkenaan seawal jam 5 petang. Suasananya bukan sahaja meriah, malah secara tidak langsung membantu mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan perpaduan kaum.

Ada petak

Selain itu, ia juga adalah tradisi tahunan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berbuka puasa bersama rakyat jelata di padang MBK 1.

Tinjauan penulis di padang berkenaan pada awal Ramadan lalu mendapati ada petak berukuran 20×20 kaki yang ditandakan dengan nombor oleh MBK selaku pengendali kawasan tersebut.

Petak itu berjarak tiga meter antara satu sama lain bagi membolehkan pengunjung menjaga jarak dan mematuhi SOP.

Pengunjung dikehendaki memasuki pintu hadapan berdekatan jam besar untuk mendaftar masuk ke padang dan selepas semakan tempahan, mereka diberikan sekeping kad bernombor untuk berada di petak yang disediakan.

Melihat kepada jumlah petak tersebut, jumlah pengunjung terpaksa dihadkan mengikut kapasiti tertentu sebagai langkah mengelak jangkitan Covid-19.

Malah, segala pergerakan mereka dikawal sepenuhnya oleh penguat kuasa MBK 1 yang bertugas.

Datuk Bandar MBK, Datuk Hamdan Hussin turut mengesahkan sebanyak 140 petak disediakan bagi membolehkan orang ramai meneruskan tradisi berbuka puasa di padang MBK 1 selepas dihentikan seketika akibat pandemik Covid-19.

Jelas beliau, setiap petak dihadkan kepada 12 orang sahaja untuk berbuka puasa, yang dibuka dari jam 6 petang sehingga 8.30 malam dan mereka perlu membuat tempahan terlebih dahulu.

Ini adalah permulaan untuk membudayakan masyarakat dan diri kita. Mana-mana perkara yang mungkin dahulu tidak ada dalam disiplin kehidupan, hari ini kita telah belajar banyak perkara ketika berada dalam tempoh pandemik.

Ini adalah pengajaran penting yang kita lalui selepas dua tahun kita 'berperang' dengan wabak yang amat membinasakan ini.

Kita sepatutnya menghargai masa-masa yang kita ada ini dengan menyayangi insan-insan yang ada di sekeliling kita.

Malah, kita juga perlu menghargai ‘kebebasan’ yang kita sedang nikmati pada hari ini.

Ibarat seorang banduan yang dipenjarakan untuk tempoh tertentu. Masa yang ada di sebalik tirai besi ini digunakan untuk muhasabah diri dan memperbaiki kesilapan lalu. Semoga masa depan kita yang bakal dilalui dengan penuh kegembiraan.

* Norawazni Yusof ialah wartawan Sinar Harian Pahang