Kereta peronda eskot MB Johor terlibat kemalangan

Keadaan MPV yang terlibat kemalangan di kilometer 76 Jalan Johor Bahru-Mersing pada Khamis.- Foto IPD Kota Tinggi
Keadaan MPV yang terlibat kemalangan di kilometer 76 Jalan Johor Bahru-Mersing pada Khamis.- Foto IPD Kota Tinggi
A
A
A

KOTA TINGGI - Sebuah kereta peronda polis (MPV) dipandu dua anggota polis terlibat kemalangan di kilometer 76 Jalan Johor Bahru-Mersing pada Khamis.

Difahamkan, anggota terbabit sedang dalam penugasan eskot Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas meninjau Pengkalan Hadapan Carilamat di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing susulan empat penyelam hilang sewaktu melakukan aktiviti menyelam di Pulau Tokong Sanggol pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.50 pagi melibatkan kereta MPV jenis Honda Civic.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu MPV dalam perjalanan dari arah Mersing menghala ke Johor Bahru telah gagal mengawal kenderaan yang dipandu ketika melalui selekoh akibat jalan licin dan basah kerana hujan.

"Akibatnya MPV terbabit terbabas ke kiri jalan lalu terbalik. Pemandu MPV berusia 32 tahun mengalami kecederaan ringan manakala seorang lagi anggota berumur 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Menurut Hussin, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

Artikel Berkaitan: