X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Skuad compound sasar dua emas di Sukan SEA

Juwaidi - Foto FB Mohd Juwaidi Mazuki
A
A

KEKURANGAN dari segi persiapan tidak melunturkan semangat skuad memanah compound negara untuk meletakkan sasaran membawa pulang dua pingat emas pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada 12 hingga 23 Mei ini.

Jurulatih memanah compound kebangsaan, Adnan Ahmad berkata, sasaran itu disandarkan kepada acara berpasukan dan individu lelaki dengan pemanah negara, Mohd Juwaidi Mazuki menjadi taruhan utama untuk merealisasikan misi tersebut.

Beliau berkata, walaupun barisan pemanah baharu menjalani latihan bersama bermula awal bulan ini, beliau yakin dua kejohanan simulasi yang akan disertai anak buahnya dalam masa terdekat mampu memberikan nilai tambah dalam persediaan mereka menghadapi temasya sukan dwitahunan itu.

"Kami mula buat kem latihan berpusat awal April lepas, tetapi atlet yang dipanggil sebelum itu berlatih di negeri masing-masing dan kami akan sertai dua kejohanan simulasi sebelum berangkat ke Hanoi. Sasaran kami seperti edisi 2019 iaitu dua pingat emas.

"Jika kita tengok prestasi semasa, Juwaidi nampaknya boleh melakukan sesuatu," katanya pada sidang media Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil pada Khamis.

Beliau berkata, dua kejohanan simulasi yang akan disertai skuad memanah compound masing-masing pada 13 hingga 15 April dan 20 hingga 22 April di Lapang Sasar Memanah MSN dan turut disertai pasukan memanah recurve negara yang turut bertanding di Hanoi.

Pada masa sama, Adnan berkata, selain tuan rumah Vietnam, Thailand dan Indonesia adalah pencabar utama pasukan negara dalam pemburuan pingat emas.

Sementara itu, Mohd Juwaidi yang membuat penampilan Sukan SEA kelimanya di Hanoi merasakan seperti pertama kali akan mewakili negara di pentas antarabangsa selepas lebih dua tahun tidak beraksi berikutan pandemik Covid-19.

"Kali terakhir saya bertanding pada 2019 manakala 2020 dan 2021 memang saya tidak pergi beraksi di luar langsung. Saya tidak tahu pihak lawan saya ada yang muka baharu atau tidak, kalau (atlet) lama mungkin mental kita bersedia, kalau yang baharu ini kita kena berhati-hati," katanya.

Skuad memanah compound negara ke Sukan SEA Hanoi dibarisi Mohd Juwaidi, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli, Mohamad Syafiq Md Ariffin dan Wong Co Wan bagi kategori lelaki sementara Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Iman Aisyah Norazam, Nur Aina Yasmine Halim dan Kayalvhily bagi kategori wanita.

Sebagai rekod, pada Sukan SEA 2019 di Filipina, pasukan negara berjaya meraih satu pingat emas acara berpasukan lelaki yang turut dibarisi Mohd Juwaidi selain satu pingat perak disumbangkan Fatin Nurfatehah menerusi acara individu wanita. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!