Peniaga ayam terbeban tanggung kos penghantaran

Wan Mohamad Afiq sedang menyusun ayam segar yang dijual di gerainya di Pasar Besar Alor Setar, Alor Setar pada Khamis.
Wan Mohamad Afiq sedang menyusun ayam segar yang dijual di gerainya di Pasar Besar Alor Setar, Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Peniaga ayam di daerah ini terbeban apabila terpaksa menanggung kos penghantaran ayam daripada pembekal sebanyak 30 sen bagi setiap sekilogram.

Peniaga, Wan Mohamad Afiq Wan Ahmad Fauzi, 25, berkata, caj berkenaan mula dikenakan pada hari kedua puasa tanpa sebarang alasan daripada pihak terlibat.

Katanya, situasi itu membebankan mereka kerana terpaksa menampung kos tambahan dan dalam masa yang sama perlu mengekalkan harga kawalan ayam RM8.90.

"Yang tersepit sekarang peniaga, sebab kami tidak boleh naikkan harga jualan kerana harga sudah pada tahap maksimum," katanya ketika ditemui di Pasar Besar Alor Setar di sini pada Khamis.

Menurutnya, mereka sebelum ini menerima ayam dengan harga sebanyak RM7.60 daripada pembekal tanpa apa-apa caj tambahan.

"Tetapi kini apabila mereka perkenalkan caj penghantaran, kami perlu bayar 30 sen bagi setiap kilogram ayam yang dibekalkan kepada kami.

"Peniaga yang ambil ayam dalam kuantiti sikit mungkin tidak terasa, tetapi yang mengambil dalam kuantiti banyak seperti kami sangat terkesan," katanya.

Sementara itu Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff mendakwa, caj penghantaran yang dikenakan pembekal itu tidak mustahil akan meningkat kepada 50 sen sekilogram sekiranya ayam tersebut dihantar ke kawasan luar bandar berikutan kedudukannya yang agak jauh.

Artikel Berkaitan:

"Ini caj baharu yang diperkenalkan pembekal tanpa diketahui pengguna atau pihak-pihak lain. Semua pihak tidak tahu mengenainya dan disebabkan itu, tidak mustahil caj tersebut akan menjadi lebih tinggi di kawasan luar bandar," katanya.

Mohamad Yusrizal menambah, kenaikan harga ayam turut dilaporkan berlaku di Changlun dan Pendang sehingga mencecah RM11 sekilogram.

" Kita nampak memang ada berlaku kenaikan harga yang tidak relevan. Jadi kita minta pihak berkuasa segera mengambil tindakan bagi memantau perkara ini," katanya.

Dalam pada itu katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu mengkaji semula sistem-sistem yang diguna pakai selama ini, yang disifatkan gagal dalam membela nasib pengguna di negara ini.