Pahang jamin tanggung kos perubatan adik Athif

Wan Rosdy ketika melakukan kunjung ziarah adik Athif dan keluarganya di Permatang Badak Maju, di sini pada Rabu.
Wan Rosdy ketika melakukan kunjung ziarah adik Athif dan keluarganya di Permatang Badak Maju, di sini pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang memberi jaminan akan menanggung baki kos perubatan Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan yang menghidapi penyakit genetik yang jarang berlaku, Atrofi Otot Spina (SMA), Jenis 1.

Muhammad Athif Fahri yang mesra dipanggil adik Athif berusia 16 bulan memerlukan suntikan ubat jenis genetik Zolgensma bernilai kira-kira AS$2.1 juta atau RM9.7 juta untuk kesan pulih seumur hidup.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak RM9.49 juta telah berjaya dikumpulkan setakat ini dan baki diperlukan lebih RM300,000 lagi.

Menurutnya, perbincangan dengan bapa adik Athif, Mohd Farhan Mohd Sait, 35, dan isterinya, Nur Azizah Zamri, 33, dibuat bagi membolehkan adik Athif mendapatkan rawatan segera kerana keadaannya semakin lemah.

"Jadi saya harap pihak PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya) mengambil tindakan segera, jangan tunggu dana cukup baru nak berubat kerajaan negeri menjadi kolateral cagaran sebanyak RM300,000.

"Saya beri jaminan di sini, kerajaan negeri akan tanggung kekurangan kos untuk perubatan adik Athif, sebab itu saya minta terus ambil tindakan, pergi berubat.

"Kalau katalah tidak dapat RM300,000 lagi, kita akan tanggung. Ini jaminan saya, komitmen kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan kunjung ziarah adik Athif dan keluarganya di Permatang Badak Maju, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, Datuk Sabariah Saidan dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamed Kamal.

Kutipan dana dilancarkan oleh Yayasan Misi Rakyat berjaya mengumpul sebanyak RM9.4 juta dalam tempoh sebulan.

Sebaik sahaja dana kutipan mencukupi, anak bongsu daripada tiga beradik ini akan menjalani rawatan di PPUM dan perlu menerima suntikan ubat Genetik Zolgensma sebelum usianya mencapai dua tahun.

Sementara itu, Mohd Farhan menzahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih pihak termasuk kerajaan Pahang dan seluruh rakyat Malaysia yang menyalurkan sumbangan dana perubatan kepada adik Athif.

Katanya, sampel darah adik Athif telah diambil bagi memastikan sama ada ubat genetik tersebut sesuai atau sebaliknya.

"Kalau tiada masalah, dana mencukupi, pihak PPUM akan membuat tempahan ubat dan tunggu dalam masa sebulan untuk sampai," katanya yang berharap anaknya akan pulih seperti kanak-kanak normal lain.