Lelaki Rohingya direman kes bunuh rakan

Lelaki Rohingya direman tujuh hari bantu siasatan kes bunuh rakan senegara.
Lelaki Rohingya direman tujuh hari bantu siasatan kes bunuh rakan senegara.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki warga Rohingya direman tujuh hari bermula Khamis bagi membantu siasatan kes bunuh membabitkan rakan senegara di Jalan Bukit Tembok di sini pada Selasa.

Perintah reman terhadap suspek berusia 40 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret, Intan Syafinaz Ros'lin di Mahkamah Trafik Seremban.

Perintah reman itu bermula pada Khamis sehingga 13 April ini.

Pada Rabu Sinar Harian melaporkan mayat seorang lelaki warga Rohingya ditemui dengan kesan tikaman di bahagian perut dipercayai dibunuh oleh rakan senegara di sebuah rumah di Jalan Bukit Tembok di sini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 10 pagi daripada orang awam.

"Sebaik tiba di lokasi, polis menemui satu mayat lelaki warga Rohingya berusia 19 tahun di bahagian lorong dapur menuju ke bilik dengan kesan tikaman di perut.

"Hasil siasatan awal mendapati, mangsa ditikam dengan menggunakan senjata tajam dan telah mati lebih kurang lima jam," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Rabu.

Menurutnya, mangsa difahamkan menumpang di rumah sewa suspek berusia 40-an sejak seminggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, telah berlaku pergaduhan antara mangsa dan suspek yang tidak diketahui puncanya.

"Jiran memaklumkan terdengar bunyi pergaduhan dari rumah suspek malam tadi (Selasa). Majikan suspek juga ada datang mencari suspek di rumah selepas dia tidak datang ke tempat kerja pagi tadi (Rabu)," katanya.

Sementara itu Nanda berkata, suspek yang merupakan seorang buruh telah berjaya ditahan di sebuah kedai pakaian di Pulau Pinang oleh polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang kira-kira jam 2 petang Rabu.