4 penyelam hilang: Kerajaan Johor akan maklum kedutaan

Usaha mengesan kesemua penyelam warga asing itu mulai diaktifkan bermula jam 2.45 petang pada Rabu.
Usaha mengesan kesemua penyelam warga asing itu mulai diaktifkan bermula jam 2.45 petang pada Rabu.
A
A
A

MERSING - Kerajaan negeri akan memaklumkan kepada kedutaan mengenai status operasi pencarian empat penyelam warga asing yang hilang di Pulau Tokong Sanggol, di sini dari masa ke masa.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, buat masa ni Op Carilamat telah bermula 7 pagi Khamis melibatkan seramai 90 anggota dan pegawai pelbagai agensi termasuk 30 penyelam dan 18 aset.

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar atas kurniaan baginda meminjamkan dua bot milik untuk Op Carilamat.

"Kami akan memaklumkan kepada mereka (kedutaan). Kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi ini. Kami akan melakukan apa sahaja yang termampu untuk mencari mereka dan akan melakukan yang terbaik untuk mencari mereka secepat mungkin,” katanya kepada pemberita di Jeti Pangkalan Hadapan Carilamat Mersing di sini pada Khamis

Onn Hafiz berkata kawasan pencarian kini meliputi 107 batu nautika radius.

Tambah beliau, agensi yang terlibat iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Gerup Gerak Khas Kem Iskandar Mersing, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Perikanan, kini sedang bertungkus lumus dalam memastikan keempat-empat mangsa dapat ditemui secepat mungkin.

"Kita hadapi kekangan sedikit dari segi cuaca. (Bagaimanapun), keselamatan anggota juga jadi keutamaan. (Op carilamat) di sebelah pagi sampai petang (akan diteruskan).

Artikel Berkaitan:

“(Cuma) sebelah petang mencabar kerana keadaan laut yang bergelora mungkin sebelah petang, (operasi) berhenti sekejap. Kami akan teruskan sehabis baik,” kata beliau.

Ketika ditanya sama ada aktiviti menyelam pelancong akan dihentikan, Onn Hafiz berkata Pejabat Daerah Mersing akan memperhalusi prosedur operasi standard dan melihat langkah-langkah keselamatan yang bersesuaian agar insiden seperti ini tidak berlaku lagi.

Dalam kejadian tengah hari semalam, mangsa terdiri daripada remaja lelaki warga Belanda berusia 14 tahun; lelaki warga Britain berusia 46 tahun, wanita warga Perancis berusia 18 tahun dan wanita warga Norway berusia 35 tahun, yang dipercayai jurulatih menyelam, didapati hilang ketika membuat latihan selaman di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, di sini.