Lebih 400KG makanan bazar Ramadan selamat dari dibuang tahun lalu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

NILAI - Sebanyak 461.71 kilogram lebihan makanan dan 733 kilogram minuman dapat diselamatkan daripada dibuang ke tapak pelupusan sisa pepejal pada tahun lepas menerusi program Value Food No Waste anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Pengarah SWCorp Negeri Sembilan, Siti Yusnita Mohamad Yusof berkata, lebihan makanan dan minuman yang tidak terjual di bazar Ramadan tetapi masih boleh dimakan itu dapat diedar kepada golongan memerlukan hasil kerjasama dengan Pertubuhan Pemuda Gema Negeri Sembilan serta peniaga.

Beliau berkata, pada Ramadan kali ini, terdapat tiga tapak bazar terlibat dalam menjayakan program itu iaitu Bazar Lotus Nilai, Bazar Taman Semarak dan Bazar Bandar Baru Nilai.

"Mengikut statistik tahun lepas, kami mendapati kira-kira 4,086 tan metrik sisa makanan dibazirkan di negara ini yang kebanyakan masih boleh dimakan. Selain itu, secara purata setiap keluarga di negara ini telah membazirkan 500 gram hingga 800 gram makanan yang tidak dimakan.

"Menerusi kempen ini (MySaveFood: Value Food No Waste@Bazar Ramadan 2022), kami akan mengumpulkan makanan dan minuman yang masih boleh dimakan tetapi tidak terjual untuk diserah kepada penduduk sekitar bazar atau mereka yang memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kempen MySaveFood: Value Food No Waste@Bazar Ramadan 2022 di Bazar Ramadan Nilai, pada Rabu.

Beliau berkata, menerusi kempen tersebut tahun lepas, pihaknya dapat mengurangkan 10 peratus daripada lebihan makanan daripada terus dibuang ke tapak pelupusan sekali gus membantu kerajaan mengurangkan kos pelupusan bagi sisa makanan tersebut.

"Kerajaan perlu membayar RM34 kepada operator tapak pelupusan sisa pepejal untuk satu tan sisa makanan dan minuman bagi dilupuskan. Oleh itu, SWCorp Negeri Sembilan menyarankan kepada pengunjung bazar supaya menghargai makanan dan elak pembaziran,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: