Bekas CFO Felcra diarah segerakan resolusi ahli lembaga pengarah

Bung Moktar (dua, kiri) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu bagi sambung bicara kes tuduhan rasuah berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual. Foto Bernama
Bung Moktar (dua, kiri) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu bagi sambung bicara kes tuduhan rasuah berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengurus Besar Kumpulan Kewangan (CFO) Felcra memberitahu Mahkamah Sesyen pada Rabu bahawa beliau menerima arahan terus daripada Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk menyegerakan resolusi ahli lembaga pengarah berhubung pelaburan Felcra sebanyak RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Mohd Azmy Abu Samah, 54, berkata, sebagai seorang pekerja, beliau hanya mengikut arahan yang telah diberikan memandangkan Bung Moktar telah meluluskan pelantikannya sebagai CFO di agensi tersebut.

"Ketika itu, saya masih tidak faham budaya (keadaan) di sana (Felcra) ada perang dingin, saya tidak mahu terlibat kerana saya masih baharu.

Tambahan pula, Pengerusi Felcra (Bung) yang meluluskan, saya sebagai CFO," kata saksi pendakwaan ke-26 itu semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria pada perbicaraan kes rasuah membabitkan Bung Moktar dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad.

Pada prosiding sebelum ini, Mohd Azmy memberitahu mahkamah bahawa Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) Datuk Zulkarnain Md Eusope menasihatkannya mengenai 'perang dingin' antara 'pasukan lama' dan 'pasukan baharu' dan ada kemungkinan hubungan pengerusi (Bung Moktar) dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Datuk Ramlee Abu Bakar kurang menarik.

Ditanya Mohd Sophian sekiranya saksi itu tidak mengikut arahan Bung Moktar apa yang akan berlaku? Mohd Azmy menjawab, "Saya tidak terfikir langsung berhubung perkara tersebut ketika itu".

Disoal Mohd Sophian adakah saksi itu ada berjumpa dengan Bung Moktar dan bertanya mengapa dia perlu mendapat arahan terus daripada ahli politik itu, Mohd Azmy berkata beliau tidak bertanya mengenai hal tersebut.

Menyentuh mengenai pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad, Mohd Azmy berkata beliau telah dinasihatkan supaya tidak melaporkannya kerana cadangan pelaburan ini datang daripada Bung Moktar.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azmy dalam keterangannya sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa Kementerian Kewangan bersetuju untuk meluluskan pelaburan RM150 juta oleh Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad selepas meneliti tiga kertas cadangan pelaburan dikemukakan Bung Moktar.

Disoal Mohd Sophian mengapa Mohd Azmy tidak melaporkan perkembangan pelaburan (unit amanah Public Mutual) kepada Ramlee (bekas CEO Felcra), saksi itu menjawab,"Sebelum pelaburan, ia tidak dilaporkan tetapi selepas pelaburan dibuat ia ada dimaklumkan dalam mesyuarat Majlis Pengurusan Tertinggi (MPT).

Menjawab soalan mengenai hubungan saksi itu dengan isteri Bung Moktar iaitu Zizie Izette, Mohd Azmy menjelaskan beliau tidak mempunyai hubungan kasual atau profesional kerana hanya pernah berjumpa dua kali dengan pelakon itu dan mereka tidak pernah berbual.

Menurut Mohd Azmy, beliau juga tidak mengetahui mengenai penglibatan Zizie Izette berhubung pelaburan (unit amanah Public Mutual) dan tidak pernah berbincang dengan pelakon itu berkaitan pelaburan tersebut.

Prosiding di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung pada 8 April ini.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, 64, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab serupa dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. - Bernama