Pekerja kilang trauma putus separuh tangan

Sabri (kanan) menziarahi Muhammad Faiz serta menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan untuk meringankan beban mereka sekeluarga.
Sabri (kanan) menziarahi Muhammad Faiz serta menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan untuk meringankan beban mereka sekeluarga.
A
A
A

GURUN - Seorang pekerja kilang komponen plastik dan logam trauma selepas separuh tangan kanannya terputus akibat terkena mesin di tempat kerja dalam kejadian pada 21 Februari lalu.

Ibunya, Faizah Jamaludin, 43, berkata, anak sulungnya, Muhammad Faiz Aiman Hasli, 22, baru sahaja dua minggu bekerja sebagai operator pengeluaran di kilang yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 8.45 pagi ketika dia diminta untuk menjaga sementara sebuah mesin kerana kekurangan pekerja.

"Selepas kejadian terbabit, hampir dua minggu Muhammad Faiz trauma dan tak boleh tidur. Sekarang, Alhamdulillah dia semakin kuat terima kenyataan," katanya ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit pada di rumah mereka di Kampung Kilang Ketapan di sini, pada Selasa.

Menurutnya, dia juga terpaksa berhenti kerja untuk memberi perhatian sepenuhnya kepada Muhammad Faiz.

"Selang sehari anak saya kena cuci luka, kemudian ada rawatan fisioterapi dan rawatan susulan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

"Jadi belanja rumah sekarang terpaksa ditanggung sepenuhnya oleh suami yang mengambil upah buat jalan, tetapi kalau ada kerja, ada la duit," katanya.

Faizah berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga telah menziarahi anaknya dan dia sedang menunggu maklum balas selanjutnya berkaitan tuntutan.

Artikel Berkaitan:

Kepada orang ramai yang berhasrat untuk membantu Muhammad Faiz, boleh menyalurkan bantuan ke akaun 32001006324 (Hong Leong Bank) atas nama Muhammad Faiz Aiman Hasli atau hubungi Faizah di talian 019-4234391.