'Kita tak akan sembunyi apa-apa' - Saarani

Saarani (kanan) menerima senaskhah al-Quran daripada Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Muhammad Puhaz Saleh selepas menyempurnakan Pelancaran Belia Perak Bertadarus di Pejabat Menteri Besar Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Saarani (kanan) menerima senaskhah al-Quran daripada Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Muhammad Puhaz Saleh selepas menyempurnakan Pelancaran Belia Perak Bertadarus di Pejabat Menteri Besar Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang menjalankan siasatan penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya akan memberikan maklumat yang diperlukan kepada SPRM jika diminta berbuat demikian.

Menurutnya, sama ada kerajaan negeri atau agensi terlibat akan telus dalam memberikan maklumat.

"Kalau sudah ada laporan kepada SPRM atau polis, jika pihak yang bertanggungjawab ingin melakukan apa-apa siasatan, maka kerajaan negeri dan agensinya tidak akan melindungi apa-apa maklumat.

"Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk buat siasatan dan kita yakin mereka akan membuat siasatan secara telus," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Dasar Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) Perak dan Pelancaran Belia Perak Bertadarus di Pejabat Menteri Besar Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Mengenai gesaan Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) Perak supaya menangguhkan kebenaran merancang yang diluluskan bagi pembangunan di atas tanah tersebut, Saarani menjelaskan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) mempunyai kuasa terhadap tindakan tersebut.

Katanya, sebarang tindakan yang akan dibuat oleh MDPT perlu merujuk peraturan dan undang-undang sedia ada.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani yang juga Pengerusi UMNO Perak menjelaskan tiada keperluan untuk UMNO turut membuat laporan yang sama seperti dilakukan Pakatan Harapan (PH).

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, satu laporan sudah memadai untuk agensi berkaitan menjalankan siasatan lanjut.

Pada Rabu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad memaklumkan pihaknya telah memulakan siasatan berhubung penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar susulan laporan yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi.

Asmuni bersama tiga lagi bekas exco kerajaan negeri ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) iaitu ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How dan ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing pada Selasa hadir ke Pejabat SPRM Perak bagi mengemukakan aduan rasmi berhubung isu tersebut.

Howard Lee dalam sidang akhbar selepas itu menjelaskan tindakan tersebut dibuat bagi meminta siasatan lengkap dibuat terhadap isu tersebut memandangkan penjualan tanah dibuat tanpa melalui mesyuarat exco seterusnya membersihkan nama PH.

Pemuda PH Perak juga turut membuat laporan polis pada Isnin bagi menggesa siasatan segera dilakukan ke atas penjualan tanah yang dicadang dibangunkan sebagai lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Ketua Pemuda PH negeri, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, siasatan secara menyeluruh perlu agar mereka yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan.

Dalam laporan media sebelum ini, Saarani mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membuat laporan polis berhubung perkara itu dan memberi jaminan kerajaan negeri akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

Isu penjualan tanah lapangan terbang terbabit timbul selepas ADUN Aulong, Nga Kor Ming mendakwa tanah berkenaan sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Bagaimanapun Saarani memaklumkan bahawa penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta bagi tujuan pembangunan bercampur di kawasan terbabit.