'Berhenti perkecilkan orang Melayu'- Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
A
A
A

SHAH ALAM- Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengingatkan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal agar berhenti memperkecilkan orang Melayu.

Menurutnya, tindakan Wan Ahmad Fayhsal dengan menimbulkan ketakutan, keresahan dan rasa tidak yakin Melayu itu sengaja dilakukan untuk memecahkan undi dan sokongan rakyat Malaysia.

Apatah lagi katanya, kepada parti yang membawa suara rakyat Malaysia secara keseluruhan, termasuklah untuk orang Melayu seperti Muda.

“Macam biasalah, apabila mahu menarik orang Melayu untuk menyokong mereka, perkataan seperti liberal, pelindung Melayu, nasib Melayu susah akan basah di lidah mereka. Soalannya, adakah selama ini Melayu dilindungi oleh parti politik lama dan lapuk?

“Apabila lebih 600,000 isi rumah M40 jatuh dan tergelincir ke kumpulan B40, adakah orang Melayu terlindung dari krisis ini? Apabila ramai rakyat Malaysia yang terpaksa mengibarkan bendera putih kerana tidak cukup makan minum waktu Covid-19, adakah orang Melayu terlindung dari lapar dan sakit?

“Apabila rakyat sendiri lihat gaya hidup pemimpin politik Melayu yang ada jam tangan mewah berharga ratusan ribu ringgit atau rumah sebesar istana dan kereta mewah anak-anak mereka, adakah orang Melayu juga dapat menikmati kehidupan mewah begini?

“Sebab itu saya selalu sebut, tak usah terus bermain dengan politik kaum dan cuba memperkecilkan orang Melayu seolah-olah mereka tidak tahu bahawa parti politik lama yang bercakap ‘Melayu, Melayu, Melayu’ ini hanya menguntungkan kumpulan elit, keluarga ahli politik dan kroni sahaja,” katanya dalam coretan di Facebooknya pada Rabu.

Syed Saddiq berkata demikian, sebagai respons kepada kenyataan Wan Ahmad Fayhsal yang menyatakan orang Melayu menolak parti beraliran tengah-kiri (centre-left parties) kerana sifat demokrasi liberal yang melampau.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ahli Parlimen Muar itu, beliau sendiri tidak pernah mengasing-asingkan bantuan dan sokongan kepada keluarga Melayu, keluarga Cina, keluarga India yang menyokong UMNO, Muda atau menyokong Pas di kawasan parlimennya.

“Sama juga di peringkat nasional, saya percaya orang Melayu kita wajib bantu, orang Cina dan India wajib bantu, orang Sabah dan Sarawak, Perlis ke Johor, Kelantan ke Pahang semua perlu dibantu.

“Bukannya dengan terus memperkecilkan orang Melayu sebagai orang yang hidupnya berpuak-puak, feudal dan perlukan pelindung. Saya pasti suara bahawa ‘orang Melayu ini ketinggalan’ pasti akan diulang-ulang lagi sampai ke pilihan raya.

“Saya juga akan terus tetap dengan pendirian saya, malah ini juga adalah pendirian Muda bahawa kita akan tolong Melayu, tolong Cina dan tolong India. Selagi mana ada orang yang susah, lapar dan sakit, kita akan terus berkhidmat untuk mereka,” jelasnya.