Mujahid sertai himpunan di KL sebaik tiba di Malaysia

Mujahid ketika bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum berlepas ke New Zealand, semalam. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Mujahid ketika bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum berlepas ke New Zealand, semalam. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A
PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dijangka tiba ke Malaysia dari New Zealand pada subuh nanti dan kemudiannya akan terus menyertai himpunan Solidariti Kedamaian 2019 di Kuala Lumpur.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan pejabatnya, Mujahid kini dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas selesai urusan di Christchurch, New Zealand.

Dalam lawatan singkat beliau ke sana, Ahli Parlimen Parit Buntar itu sempat menunaikan solat Jumaat di South Hagley Park, New Zealand bersama masyarakat Muslim di sana.

“Ketika di Hagley Park, beliau sempat menyaksikan beberapa kaum wanita membuat tarian haka, salah satu daripada tarian tradisional dari suku Maori di New Zealand ketika Perdana Menterinya, Jacinda Ardern tiba di padang tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Sumbangan #Sinar4NZMartyrs selamat diserah kepada mangsa

“Jacinda Ardern tiba dengan mengenakan pakaian berwarna gelap bersama selendang di kepalanya.

“Ketika di Hagley Park, beliau juga sempat bertemu beberapa duta daripada negara-negara lain seperti Turki, Pakistan dan Indonesia serta beramah-mesra bersama pelajar yang melanjutkan pelajaran di Christchurch, New Zealand,” menurut kenyataan itu.

Mujahid kemudiannya ke Hospital Christchurch bagi menziarahi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa insiden serangan pengganas iaitu Mohd Tarmizi Shuib, Mohd Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.

“Menteri turut menyerahkan sumbangan daripada rakyat Malaysia kepada mereka.
Artikel Berkaitan:


“Beliau juga sempat bertemu dengan keluarga mangsa serta rakyat Malaysia yang tinggal di sana yang telah banyak membantu urusan mangsa selepas insiden berkenaan,” menurut kenyataan itu lagi.

Semalam, Mujahid mewakili kerajaan Malaysia berlepas ke negara tersebut untuk menemui keluarga mangsa selain bertemu kerajaan New Zealand bagi mengucapkan takziah atas insiden yang berlaku.

"Pemergian saya ke New Zealand ini juga untuk mewakili kerajaan Malaysia secara rasmi untuk menziarahi keluarga serta menguruskan perkara melibatkan rakyat Malaysia di sana.

"Saya juga akan menemui kerajaan New Zealand untuk mengucapkan takziah atas peristiwa hitam yang berlaku dan mengucapkan penghargaan kerana menguruskan rakyat Malaysia yang terlibat," katanya.