Pegawai bank rugi RM243,000 ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai bank mengalami kerugian sebanyak RM243,000 akibat ditipu sindiket pinjaman tidak wujud dalam talian.

Timbalan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Superintenden Mohamad Musa Marsidi berkata, mangsa merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 54 tahun.

Menurutnya, mangsa telah berurusan untuk membuat pinjaman sebanyak RM80,000 dengan mengisi borang di laman sesawang.

"Mangsa kemudiannya telah dihubungi oleh pekerja syarikat pinjaman wang tersebut dan diminta untuk membuat beberapa transaksi sebagai bayaran proses pinjaman.

"Sejak 28 Februari 2022 sehingga akhir Mac 2022 mangsa telah membuat bayaran sebanyak RM243,000 secara berperingkat ke dalam sembilan akaun bank diberikan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, mangsa yang kemudian curiga dengan tindakan tersebut dan berasa dirinya tertipu kemudiannya membuat laporan polis.

"Kes disiasat di bawah bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Menurutnya, orang ramai perlu lebih berhati-hati bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan tawaran pinjaman wang tidak wujud.

Artikel Berkaitan:

"Jangan mudah percaya iklan promosi pinjaman wang dengan kadar faedah yang rendah dan proses permohonan yang pantas tanpa syarat ketat.

"Orang ramai perlu hadir secara fizikal ke institusi perbankan atau kewangan berlesen sahaja untuk membuat permohonan pinjaman wang," katanya.

Tambahnya, semak terlebih dahulu akaun atau nombor telefon yang meragukan.

"Orang ramai dinasihatkan agar menyemak akaun bank atau nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule.

"Sebarang jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan, orang ramai boleh menghubungi CCID Infoline di talian 013-2111 222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan," katanya.