Wanita depan lif pula jadi mangsa cabul di Cyberjaya

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SEPANG - Lelaki yang sebelum ini diburu polis kerana mencabul seorang wanita di kawasan parkir sekali lagi dikesan melakukan perbuatan terkutuk berkenaan apabila seorang lagi wanita menjadi mangsanya di hadapan lif tingkat dua sebuah bangunan di Cyberjaya di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam kejadian pada jam 2.15 petang itu, mangsa berusia 34 tahun itu sedang menunggu lif sebelum seorang lelaki datang dari arah belakang lalu memeluk dan mencabulnya.

"Mangsa cuba bertindak memusingkan badan untuk melepaskan diri, namun lelaki itu bertindak menolak mangsa sehingga terjatuh kemudian melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Wan Kamarul Azran berkata, mangsa mendapati lelaki tersebut memakai seluar panjang dan baju lengan panjang warna hitam.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah diperolehi dan mendapati suspek yang sama terlibat dalam kes cabul di kawasan parkir bangunan tersebut," katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, polis sedang mengesan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes cabul seorang pembantu peribadi di kawasan parkir sebuah bangunan di Cyberjaya di sini pada Selasa.

Dalam kejadian pada jam 2 petang itu, mangsa berusia 27 tahun mendakwa seorang lelaki telah datang untuk membantunya menyimpan barang di dalam kereta.

Suspek memberi alasan mahu membantu kerana dia mahukan troli yang ada pada mangsa.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun wanita itu memberitahu, dia tidak perlukan pertolongan, namun lelaki itu tetap mengambil barang dan memasukkan ke dalam kereta mangsa.

Tiba-tiba lelaki tersebut telah menyentuh dan meramas punggung mangsa kemudian melarikan diri.

Wan Kamarul Azran berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.