Ekosistem ekonomi faktor firma Sepanyol pilih Malaysia

Malaysia yang mempunyai kedudukan strategik, ekosistem ekonomi maju, dan integrasinya dalam rantaian nilai global dengan populasi berbilang budaya dan bahasa menjadikan negara ini destinasi pilihan syarikat dari Sepanyol. - Foto 123RF
Malaysia yang mempunyai kedudukan strategik, ekosistem ekonomi maju, dan integrasinya dalam rantaian nilai global dengan populasi berbilang budaya dan bahasa menjadikan negara ini destinasi pilihan syarikat dari Sepanyol. - Foto 123RF
A
A
A

MALAYSIA yang mempunyai kedudukan strategik, ekosistem ekonomi maju, dan integrasinya dalam rantaian nilai global dengan populasi berbilang budaya dan bahasa menjadikan negara ini destinasi pilihan syarikat dari Sepanyol.

Duta Sepanyol ke Malaysia, José Miguel Corvinos Lafuente berkata, itu antara faktor Malaysia menjadi pilihan pelaburan Sepanyol di rantau ASEAN, dengan Pelaburan Langsung Asing (FDI) berjumlah 925 juta euro (lebih RM4.3 bilion).

"Seperti sebelum ini, Malaysia adalah rakan kongsi yang baik untuk Sepanyol,” katanya dalam ucapan perasmian Pejabat Ekonomi dan Komersial Kedutaan Sepanyol yang baharu di Malaysia, baru-baru ini.

Dewan Perniagaan & Perindustrian Sepanyol Malaysia, juga dikenali sebagai La Camara, juga ditempatkan di pejabat baharu itu.

Beliau berkata, syarikat Sepanyol yang ada di Malaysia meliputi pelbagai sektor termasuk digital, kejuruteraan, pembuatan, biosains dan aeroangkasa, fesyen, gastronomi, dan seramik.

Katanya, syarikat Sepanyol yang beroperasi dalam sektor kereta api dan tenaga suria, telah menyumbang terutamanya kepada kecekapan dan kemampanan ekonomi Malaysia.

"Melalui Program Kerjasama Industri (ICP), mereka membawa pemindahan teknologi dan menyediakan latihan untuk pelajar dan profesional Malaysia dalam penggunaan teknologi canggih," katanya.

Statistik menunjukkan eksport Sepanyol ke Malaysia ialah 395.58 juta euro (RM1.86 bilion) pada 2021, manakala import dari Malaysia kira-kira 1.42 bilion euro (RM6.60 bilion)

Artikel Berkaitan:

"Sepanyol ialah ekonomi keempat utama dalam Kesatuan Eropah dan ke-14 terbesar di dunia. Dan Malaysia adalah negara yang menawarkan banyak peluang, jadi pasti ada ruang untuk terus meneroka dan mengenal pasti bidang kerjasama baharu dengan syarikat Malaysia dan sektor awam," katanya.

Pada 2020, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sepanyol ialah 1.20 trilion euro (RM5.57 trilion) - sekitar empat kali ganda KDNK Malaysia dan yang ke-14 terbesar di dunia.

Menyentuh mengenai kedudukan Sepanyol dari perspektif teknologi, beliau berkata dalam industri aeroangkasa dan pertahanan, Sepanyol adalah satu daripada beberapa negara di dunia yang mampu menghasilkan keseluruhan proses pembuatan pesawat.

Selain itu, Sepanyol juga merupakan peneraju Eropah (ke-3 di seluruh dunia) untuk rangkaian kereta api berkelajuan tinggi, dengan lebih daripada 3,402 kilometer perkhidmatan. Pengalaman luas syarikat kereta api Sepanyol itu telah dieksport ke lebih 90 negara.

Menurut Corvinos, Sepanyol juga merupakan peneraju dalam pembangunan tenaga boleh baharu dari sudut teknologi dan perindustrian. Pada 2020, sebanyak 43 peratus daripada tenaga elektrik yang dijana di Sepanyol dihasilkan dengan tenaga boleh baharu.

Beliau juga menyatakan dua bandar Sepanyol - Bilbao dan Zaragoza - disenaraikan dalam 15 bandar pintar pertama di dunia oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD).

Sementara itu, Pérez-Durántez mengumumkan beberapa rancangan yang diatur Pejabat Ekonomi dan Komersial untuk 2022, termasuk rundingan perniagaan di Selangor, misi penjagaan kesihatan maya, serta satu majlis bersama chef Michelin Star dari Sepanyol. - Bernama