RM3j untuk pembangunan infrastruktur, kemudahan awam luar bandar

Rodziah Ismail
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak RM3 juta peruntukan diluluskan kerajaan negeri untuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam luar bandar tahun ini.

Peruntukan ini membabitkan kerja naik taraf atau baik pulih jalan luar bandar, longkang, dewan serbaguna dan balai raya.

Pengerusi Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, ia dilakukan dalam memastikan pembangunan luar bandar ini dilaksanakan secara dinamik dan mampan.

"Bagaimanapun ini tidak termasuk peruntukan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan melalui Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris).

"Dalam hal ini, kerajaan negeri komited supaya peruntukan bagi pembangunan luar bandar ini diteruskan setiap tahun dan kerja-kerja bagi naik taraf dan baik pulih dilaksanakan secara berperingkat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi sidang DUN Selangor, hari ini.

Beliau berkata, apa yang dijalankan ini adalah memastikan kemudahan awam atau asas di luar bandar ini berada di dalam keadaan yang baik.

"Kerajaan negeri sentiasa mengambil maklum terhadap aduan diterima daripada setiap Pejabat Daerah dan Tanah yang merupakan agensi penghubung antara kerajaan negeri dan juga penduduk," katanya.