Peranti rokok elektronik wajib diperakui, penandaan SIRIM

Pengilang dan pengimport peranti rokok elektronik di negara ini diwajibkan untuk membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM bermula Rabu ini. - Gambar hiasan
Pengilang dan pengimport peranti rokok elektronik di negara ini diwajibkan untuk membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM bermula Rabu ini. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [KEMAS KINI] Semua pengilang dan pengimport peranti rokok elektronik di negara ini diwajibkan untuk membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd.

Ia selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mewartakan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Peranti Rokok Elektronik 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 pada Selasa.

KPDNHEP dalam kenyataannya memaklumkan, perintah tersebut berkuat kuasa pada 3 Ogos ini.

"Pewartaan ini bertujuan untuk memastikan peranti rokok elektronik yang dihasilkan mahupun diimport mematuhi standard keselamatan yang telah ditetapkan," katanya pada Selasa.

Kementerian itu berkata, penandaan MS SIRIM hendaklah diletakkan pada peranti rokok elektronik, alat gantinya atau pada bekas peranti itu dibekalkan yang mudah dilihat oleh pengguna.

"Dengan adanya penandaan MS SIRIM pada peranti rokok elektronik menunjukkan ia telah mematuhi standard dan selamat digunakan," katanya.

Tegas KPDNHEP, kementerian akan mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya terdapat pihak-pihak yang melanggar perintah tersebut.

"Bagi syarikat, denda RM200,000 boleh dikenakan dan RM500,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Artikel Berkaitan:

"Individu yang melakukan kesalahan itu pula boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Mereka turut boleh dikenakan denda RM250,000 atau dijel sehingga lima tahun sekiranya melakukan kesalahan berulang kali," katanya.