73 hilang tempat tinggal

No Image Caption
A
A
A

SIBU - Seramai 73 orang daripada sembilan keluarga hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka di Jalan Isau, Kampung Baharu di sini, terbakar tengah hari ini.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sibu berkata, empat buah rumah ranap 100 peratus manakala tiga rumah lagi musnah antara 70 dan 80 peratus.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pada kira-kira 12.07 tengah hari itu, iaitu ketika para penduduk sedang bersiap-siap untuk ke Masjid An Nur yang terletak kira-kira 400 meter dari situ untuk menunaikan solat Jumaat.

Pihak bomba menerima laporan kejadian pada 12.11 tengah hari lalu mengejarkan satu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu ke lokasi.

Turut membantu mengawal kebakaran daripada merebak ke lebih banyak rumah berhampiran ialah pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dan penduduk kampung

Cuaca panas dan angin yang agak kuat menyebabkan api marak dengan cepat.

“Operasi memadam kebakaran ditamatkan pada pukul 3.15 petang,” menurut jurucakap itu.

Kebakaran dikatakan bermula dari dapur salah sebuah rumah yang terlibat, namun jurucakap Bomba itu berkata punca sebenar kebakaran masih disiasat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sibu Kapten Frankie John Jawan berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sibu, APM Sibu dan badan-badan bukan kerajaan serta orang perseorangan telah menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

“Mangsa-mangsa kebakaran kini tinggal sementara di rumah saudara-mara mereka,” kata Frankie. - Bernama