Sukan kokurikulum aktifkan KPJ di sekolah

Razali (tiga dari kiri) mengedarkan buku nota kepada pelajar ketika program 1st Day At School di SMK Durian Tunggal, di sini, pada Selasa.
Razali (tiga dari kiri) mengedarkan buku nota kepada pelajar ketika program 1st Day At School di SMK Durian Tunggal, di sini, pada Selasa.
A
A
A

ALOR GAJAH - Polis Melaka yakin sukan kokurikulum yang dibenarkan secara bersemuka di sekolah-sekolah akan mengaktifkan kembali aktiviti Kelab Pencegahan Jenayah Sekolah (KPJ) di negeri ini.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Razali Abu Samah, berkata, setakat ini di Melaka terdapat seramai 7,402 pelajar yang menyertai kelab itu membabitkan 253 buah sekolah rendah dan menengah.

Menurutnya, polis akan berkolaborasi dengan Jabatan Pendidikan Negeri dalam usaha menggerakkan KPJ sekali gus menarik lebih ramai penyertaan pelajar.

"Pelaksanaan inisiatif ini juga di bawah Majlis Permuafakatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana aktiviti akan dikendalikan secara dalam talian semasa aktiviti kokurikulum.

"Penubuhan KPJ dapat membentuk komuniti pelajar yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap aspek pencegahan jenayah dan undang-undang, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika program 1st Day At School di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu dan Pengetua SMK Durian Tunggal, Paridah Omar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penganjuran program itu bertujuan untuk mewujudkan hubungan mesra dan kolaborasi yang lebih mantap antara sekolah dan PDRM menerusi Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dalam mencegah salah laku disiplin pelajar dan perlakuan yang menyalahi undang-undang.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini setiap sekolah ditempatkan seorang PPS berpangkat inspektor dan mereka mempunyai anggota sendiri.

"Ia hanya menjurus kepada KPJ selain membentuk hubungan baik dengan guru disiplin sekolah," katanya.

Pada program itu polis dan sekolah turut mengedarkan buku dan alat tulis kepada pelajar yang datang ke sekolah.